suria

Pandelela Terima Anugerah Ikon Belia Sukan

Pandelela Rinong Pamg
KUCHING: Ratu terjun negara Pandelela Rinong Pamg menerima Anugerah Ikon Belia Sukan untuk kategori individu sempena Sambutan Hari Belia Peringkat Negeri Sarawak yang berlangsung di sini, Sabtu.

Anugerah itu disampaikan oleh Menteri Belia, Sukan dan Solidariti Sarawak Datuk Seri Michael Manyin Jawong mewakili Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem.

Selain pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio itu, beberapa individu turut menerima anugerah mengikut kategori masing-masing antaranya Kelvin Wan Kwong Wei menerima Anugerah Ikon Belia Sukarelawan, Desmond Anak Sagoh (Anugerah Ikon Belia Kesenian), Jong Yee Khie (Anugerah Ikon Belia Istimewa) dan Dr Fauzan Sahdi (Anugerah Ikon Belia Kemahiran dan Inovasi).


Bagi kategori anugerah persatuan belia, Yayasan Salam Negeri Sarawak menerima Anugerah Persatuan Belia Sukarelawan, Kumpulan Kesenian Petra (Anugerah Persatuan Belia Kesenian), Koperasi Belia Inovatif Sarawak (Anugerah Persatuan Belia Usahawan) dan Persatuan Ten Pin Bowling Sarawak (Anugerah Persatuan Belia Sukan).

Sementara itu, Manyin dalam ucapannya berkata kementeriannya telah mengemukakan cadangan kepada kerajaan pusat dan negeri untuk membina sebuah pusat belia dan sukan di negeri ini.


Beliau berkata, pusat berkenaan akan berperanan sebagai tempat untuk melatih belia-belia yang berbakat dalam pelbagai bidang, justeru beliau berharap agar cadangan pembinaan pusat itu mendapat kelulusan pihak berkenaan.


"Dengan adanya pusat seperti ini, ia akan lebih memudahkan usaha mengumpul belia-belia yang sudah dikenal pasti bakat mereka untuk diberi latihan bagi mengembangkan bakat mereka," katanya.


Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan negeri melalui Kementerian Belia, Sukan dan Solidariti Sarawak menyedari keperluan untuk membina kapasiti dan membangunkan potensi belia supaya mereka lebih bersedia untuk berhadapan dengan cabaran masa depan.


Katanya, selari dengan matlamat itu, adalah penting untuk melahirkan belia berpendidikan, yang mampu meneruskan peranan sebagai ejen perubahan dan pemangkin pertumbuhan supaya Sarawak dan Malaysia boleh maju dengan lebih pantas.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Van Persie Makin Pulih

Artikel Lain