suria

Kerajaan, SIC Bincang Tajaan Dua Pelumba GP2,GP3 Malaysia

Nabil Jeffri (kiri) bersama Akash Neil Nandy. Foto: Bernama

KUALA LUMPUR: Kerajaan dan Sepang International Circuit (SIC) masih berusaha mendapatkan tajaan untuk dua pelumba negara, NabilJeffri dan Akash Neil Nandy, masing-masing dalam kategori GP2 dan GP3.

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkata pihaknya sering berbincang dengan SIC untuk mencari jalan memandangkan tajaan korporat pada tahun ini sangat sukar diperoleh ekoran kedudukan ekonomi yang tidak menentu. 

"Kesukaran mendapatkan tajaan itu akan kita tangani kemudian. Kementeriandan SIC yang diwakili Datuk Razlan Razali, sedang mengadakan perbincangan dengan beberapa pihak berpotensi," katanya kepada media selepas majlis memperkenalkan dua pelumba itu, Jumaat.

Mengulas penyertaan dua pelumba itu dalam siri GP2 dan GP3, Khairy berkataia adalah peluang istimewa kerana perlumbaan tersebut membuka peluang kepada Malaysia untuk melahirkan pelumba Formula Satu (F1) yang baharu. 

Perlumbaan Siri GP2 dan GP3 yang akan diadakan di Litar Sepang sebagai perlumbaan sokongan semasa Grand Prix F1 Malaysia pada Sept 30 hingga 2 Oktober ini, adalah yang kedua terakhir dalam musim perlumbaan kedua-dua siri itu.

Perlumbaan Siri GP2 dan GP3 itu akan bermula pada 13 Mei ini di Litar Barcelona-Catalunya, Sepanyol dengan melibatkan 11 pusingan untuk Siri GP2 manakala Siri GP3 pula sembilan pusingan.

Sementara itu, Nabil yakin beliau mampu menamatkan saingan di kedudukan tiga terbaik pada perlumbaan di Litar Sepang.

"Saya jangka berada dalam kelompok tiga pelumba baharu teratas kerana itu yang terbaik saya sasarkan berikutan ramai pelumba sudah mempunyai pengalaman berlumba selama dua dan tiga tahun. Tapi saya akan lakukan yang terbaik untuk mendapatkannya.

"Bagi sasaran jangka panjang, saya mahu berada dalam perlumbaan GP2 untuk sekurang-kurangnya dua tahun dan selepas itu saya sasarkan untuk ke Formula Satu, kata Nabil, 22, yang sebelum ini berlumba dalam siri Formula Tiga (F3).

Pelumba pasukan Arden International itu, memulakan karier perlumbaannya di Cabaran Asia Max (Rotax) pada 2008 dan 2009, yang menyaksikan beliau muncul juara keseluruhan manakala pada 2010, menjadi pelumba termuda menguji kereta F1 pada usia 16 tahun.

Manakala, pelumba GP3 Jenzer Motorsport, Akash berkata beliau dan pasukannya perlu bekerja keras untuk mencapai sasaran utamanya iaitu mengutip lebih banyak mata musim ini.

"Seperti Nabil, saya mahu menjadi yang terbaik tetapi sasaran utama sayaadalah untuk mendapatkan lebih banyak mata. Berlumba dalam GP3...ini adalah impian saya. Saya berjanji akan melakukan yang terbaik untuk membanggakan Malaysia.

"Litar Sepang dianggap ramai pelumba sebagai sangat mencabar, jadi saya harap pengalaman di litar ini akan membantu persembahan saya," kata Akash, 19, yang memulakan kariernya pada 2010 menerusi perlumbaan go-kart, Cabaran Rotax Max Malaysia.-Bernama

GP2, Gp3, Nabil Jeffri, Akash Neil Nandy

Artikel Sebelum

Keputusan Kejuaraan

Artikel Berikut

Artikel Lain