suria

Liga Juara-Juara: Man City Sukar Kalahkan Real Madrid Walau Tanpa Ronaldo

Pemain Real Madrid Carlos Henrique Casemiro cuba merampas bola daripada pemain Manchester City, Fernando dan Bacary Sagna dalam perlawanan separuh akhir pertama Liga Juara-Juara, di Stadium Etihad, awal pagi Rabu. -fotoAP
PEMAIN Manchester City Bacary Sagna mengakui Real Madrid tetap menjadi pasukan yang sukar dikalahkan walaupun mereka turun tanpa Cristiano Ronaldo yang masih mengalami kecederaan paha.

Dalam perlawanan separuh akhir pertama Liga Juara-Juara yang berlangsung di Stadium Etihad awal pagi Rabu, City harus akur dengan keputusan seri 0-0 ke atas Real Madrid.

Separuh akhir kedua akan berlangsung di Santiago Bernabeu, Madrid, 5 Mei ini dengan kemungkinan Ronaldo akan diturunkan.

"Kami tahu perlawanan ini akan menjadi perlawanan yang sukar walaupun tanpa Cristiano. Mereka semua adalah pemain top. Kami melakukan segala-galanya untuk mendapatkan gol.

"Tapi kami tidak boleh melakukannya dan dalam perlawanan ini sekurang-kurangnya kami terhindar daripada kekalahan," kata Sagna kepada UEFA, sebaik sahaja tamat perlawanan, Rabu.

Sementara itu kapten City, Vincent Kompany mengaku bangga mampu menahan pasukan seperti Madrid daripada menang.

"Berat untuk menjaga gawang kami dalam berdepan pasukan yang begitu bagus melakukan serangan. Kami boleh berbangga atas apa yang telah kami capai pada perlawanan pertama," kata Kompany.

Dalam perlawanan ini, jurulatih Real Madrid Zinédine Zidane menurunkan Lucas Vazquez menggantikan Ronaldo. Vasquez bekerjasama dengan Gareth Bale dan Karim Benzema.

"Kami mampu mendapatkan keputusan yang lebih dalam perlawanan malam ini. Tapi saya sangat gembira dengan kerja keras seluruh pemain. Kami berharap dapat menurunkan Ronaldo dalam perlawanan kedua.

"Kami sebenarnya mampu mendapatkan gol, tapi kami tidak boleh menciptanya. Keputusan ini tentu membuatkan peluang kami dan Man City untuk tampil di final menjadi 50:50," ujar Zidane, memetik EUFA.

Statistik UEFA mencatatkan Real Madrid unggul dalam penguasaan bola dengan 52 peratus.

Madrid juga melepaskan lapan tendangan, tiga di antaranya tepat sasaran berbanding tuan rumah yang melepaskan empat tendangan dan dua tepat sasaran.

Bagaimanapun, City patut berterima kasih kepada Joe Hart yang tampil cemerlang dengan menepis peluang emas Sergio Ramos, Jese Rodriguez dan Casemiro pada babak kedua.

Artikel Lain