suria

Dua Gol Sanchez Hantar Arsenal Ke Posisi Ketiga

Alexis Sanchez
DUA gol pemain Alexis Sanchez berjaya mengubah kedudukan Arsenal dalam carta Liga Perdana Inggeris ke posisi ketiga, merampas kedudukan tersebut daripada Manchester City yang cuma mampu bertahan di kedudukan itu selama sehari.

Arsenal menang 2-0 ke atas West Brom dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Emirates, awal pagi Jumaat, menerusi gol Sanchez pada minit keenam dan ke-38.


Keputusan ini menyaksikan kelab ini berada di belakang Tottenham Hotspur yang mengumpul 68 mata. Arsenal kini memungut 63 mata.

Sebelum mencatat kemenangan ini The Gunners pada dua perlawanan sebelumnya hanya mampu mencatat keputusan seri, membuatkan penyokongnya memberi reaksi negatif dan merajuk.

Bertindak sebagai tuan rumah, Arsenal turun padang dengan mendominasi permainan.

Pada babak pertama, penguasaan bola Arsenal mencapai 72 peratus dengan 16 peluang menyumbat masuk gol. Jumlah itu adalah dua kali ganda berbanding yang diperolehi pasukan  bertandang.

Gol Arsenal diperolehi seawal minit keenam apabila Sanchez menerima umpan Aaron Ramsey.

Pemain dari Chile itu berjaya melepaskan diri daripada pertahanan West Brom dan terus melakukan tendangan rendah dari luar kotak penalti yang tak mampu diselamatkan Ben Foster.

Dalam perlawanan ini, West Brom dilihat terpaksa bergelut apabila sering diasak lawan namun Foster menunjukkan prestasi cemerlang apabila berjaya menyelamatkan gawang daripada dibolosi lebih banyak oleh pemain tuan rumah.

Foster bagaimanapun tidak mampu menahan tendangan bebas Sanchez pada minit ke-38 di mana dia tidak menyangka bola akan bersarang di sisi kanan gawangnya. Skor 2-0 bertahan hingga babak pertama berakhir.

Pada babak kedua, Arsenal kekal mendominasi tetapi tiada gol tambahan yang dicipta.

Artikel Sebelum

Jangan Salahkan Farhan - TCH

Artikel Berikut

Keputusan La Liga

Artikel Lain