suria

Kerana Kontrak, Van Gaal Percaya Tak Akan Dipecat

WALAUPUN berhadapan tekanan, Pengurus Manchester United, Lous Van Gaal tetap percaya dia tidak dipecat jika kelab itu gagal menamatkan kempen musim ini di tangga keempat liga.

Situasi semakin getir buat Van Gaal terutama selepas United tersingkir daripada kempen Liga Eropah.

Pada masa sama, kemenangan adalah suatu kemestian  apabila The Red Devils berdepan Manchester City dalam pertembungan derby Manchester di Etihad, tengah malam Ahad.

Bagaimanapun, jika ditakdirkan tewas, pintu untuk United melayakkan diri ke Liga Juara-Juara musim depan tentunya semakin tertutup.

"Setiap kali kami tewas anda (wartawan) sering mengajukan soalan sama. Adakah saya takut dipecat? Kenapa?

"Saya ada kontrak tiga tahun di sini dan sudah tentu saya berada di sini selama tiga tahun. Itulah prosesnya,'' ujar Van Gaal.

Mengenai perlawanan derby malam nanti, Van Gaal percaya United ada kelebihan untuk mencipta kejutan di Etihad.

Warga Belanda itu juga menekankan pertemuan itu sebagai misi wajib menang seandainya Red Devils berhasrat untuk mara ke Liga Juara-Juara musim depan.

Bagaimanapun, bagi Pengurus Manchester City, Manuel Pellegrini pula menganggap skuad bimbingannya mempunyai kelebihan jika tempoh rehat diambil kira.

Katanya berbanding United, City mempunyai tempoh rehat lebih panjang iaitu selama 48 jam selepas beraksi di kelompok 16 pasukan terakhir Liga Juara-Juara pada Rabu lalu yang menyaksikan mereka layak ke suku akhir. Manakala, United tersingkir daripada kempen Liga Euroa dua hari kemudian.

“Jika kamu mempunyai tempoh 24 hingga 48 jam untuk rehat, ia penting... ia bukan perkara utama untuk perlawanan tetapi kamu boleh melakukan persiapan lebih baik. Itu yang menjadi masalah kepada Liga Europa, kamu bermain pada Khamis (awal pagi Jumaat) dan ia bukan mudah untuk melakukan persiapan,” kata Pellegrini.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain