suria

Kelonggaran Jentera Tengah Harimau Malaysia Resahkan Kim Swee

Ong Kim Swee.

PETALING JAYA: Aksi jentera tengah skuad Harimau Malaysia jelas meresahkan pengendalinya, Datuk Ong Kim Swee yang menyifatkannya masih longgar.

Kelemahan itu dikesan ketika skuad kendaliannya seri 0-0 menentang kelab Liga Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Emkay NPNG FC di padang Wisma FAM, Kelana Jaya di sini Sabtu.

"Selepas beberapa hari berlatih, saya nampak banyak kekurangan terutamanya di bahagian tengah yang longgar sedikit...Kita kawal sebahagian besar perlawanan tetapi sudah tentu ianya berbeza apabila menentang Arab Saudi nanti," katanya ketika ditemui pemberita selepas perlawanan itu.  

Mengulas keputusan perlawanan, Kim Swee menjelaskan ia tidak begitu membimbangkan kerana tumpuannya adalah mencari keserasian pemain ketika di padang sebelum berdepan gergasi Asia Barat itu pada aksi terakhir Kumpulan A pusingan kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 di tempat lawan, 24 Mac ini.

"Bagi saya keputusan perlawanan ini tidak penting kerana tujuan saya adalah pemain mendapat 45 minit permainan untuk saya nilai tahap mereka. Bukan saja dari segi kecergasan, tapi posisi serta corak apabila berdepan Arab Saudi nanti.

"Jika kita tidak bermain 45 minit perlawanan ini atau sebarang aksi persahabatan, kemungkinan besar keadaan akan menjadi bertambah buruk apabila kita bertemu Arab Saudi nanti," kata Kim Swee. 

Sejumlah 15 pemain sudah melaporkan diri untuk sesi latihan skuad kebangsaan yang bermula sejak 14 Mac lepas. 

Tiga pemain Kedah yang beraksi dalam perlawanan suku akhir pertama Piala FA menentang Sabah, malam tadi iaitu penjaga gol Farhan Abu Bakar, Baddrol Bakhtiar dan Amirul Hisyam Awang Kechik melaporkan diri, Sabtu.

Baki lapan pemain iaitu tujuh dari Johor Darul Ta'zim (JDT) dan seorang dari Perak, Shahrul Mohd Saad akan melapor diri pagi esok sebelum pasukan kebangsaan berlepas ke Jeddah, Arab Saudi pada sebelah petang. 

Pemain JDT itu ialah Izham Tarmizi Roslan, Mohd Aidil Zafuan Abdul Radzak, Mohd Fadhli Shas, Mohd Nazrin Nawi, Safiq Rahim, Mohd Amri Yahyah dan S. Kunanlan. - Bernama

Ong Kim Swee, Harimau Malaysia

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain