suria

Felda United Rampas Tangga Teratas Liga Super

KUALA LUMPUR: Felda United merampas kedudukan teratas Liga Super daripada Johor Darul Ta'zim (JDT) selepas mengalahkan Pahang FC 2-0 di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, Pahang, malam Sabtu.

Kemenangan keempat yang diraih skuad 'The Fighters' menyaksikan mereka mengumpul 12 mata selepas lima perlawanan.

Pada aksi di Jengka, Francis Forkey Doe meletakkan Felda United di depan pada minit ke-35 sebelum pemain import Pahang, Nejc Potokar dari Slovenia, menolak masuk gol ke dalam gawang sendiri pada minit ke-80.

Kedudukan tersebut bakal berubah sekiranya JDT yang menduduki tangga kedua Liga Super berjaya menewaskan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Stadium Hang Jebat, Melaka pada aksi liga, Ahad.

Kedah pula turun satu anak tangga ke kedudukan keenam setelah seri 1-1 menentang Sarawak di Stadium Negeri, Petra Jaya, Kuching.

Pasukan pelawat terlebih dahulu memecah kebuntuan menerusi Muhammad Farhan Roslan yang bijak menyudahkan hantaran Muhammad Syafiq Ahmad pada minit ke-84 sebelum pemain import dari Australia, Makeche Ndumba menyelamatkan maruah skuad 'Ngap Sayot' pada masa kecederaan babak kedua perlawanan.

Naib juara Liga Super 2010, Kelantan pula melonjak dua anak tangga kepada kedudukan kelima liga selepas menang bergaya 3-1 ke atas Pulau Pinang di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Baru.

Penyerang import dari Macedonia, Blazhe Ilijoski muncul wira skuad 'Pamoga Qu Puteh The Red Warriors' apabila meledak dua gol pada minit keempat dan ke-35 sebelum kapten pasukan, Mohd Badhri Radzi menjaringkan gol ketiga Kelantan pada minit ke-70.

Osas Marvelous Ikpefua mengurangkan defisit jaringan untuk Pulau Pinang pada minit ke-81.

Selain aksi PDRM-JDT, satu lagi aksi Liga Super membabitkan pertemuan Perak dan Terengganu FC II akan berlangsung malam Ahad.

Liga Malaysia akan berehat seketika selepas ini bagi memberi laluan kepada persiapan skuad Harimau Malaysia menentang Arab Saudi pada pusingan kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 di tempat lawan pada 24 Mac sebelum bersambung pada 4 April ini. - Bernama

Felda United

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Keputusan Serie A Itali

Artikel Lain