suria

Pahang Terima Pelepasan Jawatan Ketua, Penolong Jurulatih

Naib Presiden III Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP), Datuk Seri Zamri Ramly (tengah) pada sidang media berkenaan pemohonan perletakan jawatan sebagai Ketua Jurulatih Pahang oleh Ahmad Shaharuddin Rosdi dan Penolong Jurulatih Pahang oleh Azaruddin Aziz selepas Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif PBNP, Khamis. Foto Bernama

KUANTAN: Hasrat Ketua Jurulatih Pahang FC, Ahmad Shaharuddin Rosdi dan penolongnya, Azaruddin Aziz untuk meletakkan jawatan diterima oleh Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP).

Naib Presiden III PBNP, Datuk Seri Zamri Ramly berkata, perkara itu diputuskan pada mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif, pada Khamis setelah menerima surat permohonan pelepasan jawatan itu daripada kedua-dua jurulatih berkenaan Isnin lepas.

"Seperti mana yang sedia maklum faktor mereka ingin melepaskan jawatan sebagai jurulatih adalah disebabkan atas rasa tanggungjawab mereka terhadap kemerosotan prestasi pasukan Pahang.  

"Bagaimanapun pelepasan jawatan berkenaan hanya akan mula berkuat kuasa Isnin depan dan mereka (Ahmad Shaharuddin dan Azaruddin) masih mempunyai tanggungjawab untuk mengendalikan baki satu lagi perlawanan dalam Liga Super iaitu menentang Felda United FC, Sabtu ini di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat berkenaan yang dipengerusikan oleh Timbalan Presiden PBNP, Datuk Seri Muhammad Safian Ismail di sini.

Mengulas tentang kekosongan kedua-dua jawatan itu nanti, Zamri berkata, pihak pengurusan sedang dalam proses penilaian beberapa jurulatih dalam dan luar negara bagi mengisi jawatan itu.

Katanya, senarai nama beberapa jurulatih berkenaan akan diumumkan selepas tarikh berkuat kuasa tarikh pelepasan jawatan itu.

Shaharuddin, 40, dilantik sebagai Ketua Jurulatih Pahang selepas enam tahun bertindak sebagai Penolong Jurulatih Pahang.

Beliau mempunyai pengalaman luas dalam bidang kejurulatihan dengan bermula sebagai penolong jurulatih skuad Piala Belia bawah 19 Pahang pada tahun 2007-2008 sebelum menjadi penolong jurulatih skuad Piala Presiden Pahang 2009-2010.

Sementara itu, dalam mesyuarat Exco PBNP pada Khamis turut memutuskan semua pengurusan berkaitan Pahang FC akan diambil alih semula oleh PBNP yang sebelum ini dikendalikan oleh Pahang FC Sdn Bhd (PFC).

Namun, katanya PFC masih berperanan dalam melaksanakan urusan pemasaran, logo, jersi, penjenamaan dan hal-hal lain berkaitan skuad Tok Gajah berikutan ia telah didaftarkan dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan penjenamaan semula hanya boleh dilakukan pada musim hadapan.

Dalam masa yang sama, Zamri berkata, untuk musim kali ini tiada sebarang piala yang disandarkan untuk dijulang oleh Pahang berikutan prestasi pasukan yang kurang memberangsangkan. - Bernama

Artikel Sebelum

Keputusan Liga Europa

Artikel Berikut

Artikel Lain