suria

Bekas Kapten Harimau Muda C Antara 31 Pemain Disenarai Bernhardt

Frank Bernhardt.

KUALA LUMPUR: Bekas kapten pasukan Harimau Muda C (B-19), Dominic Tan Jun Jin adalah antara 31 pemain disenaraikan untuk latihan pusat skuad bawah 22 tahun (B-22) negara bermula 14 Mac ini.

Ketua jurulatih skuad B-22, Frank Bernhardt turut memilih ramai muka baharu seperti pemain UiTM FC, Mohd Adib Zainuddin dan pemain Sarawak, Rodney Calvin Akwensive selain bekas pemain Harimau Muda B (B-21) dan Harimau Muda C.

Tujuh pemain lain pula diminta bersedia menyertai latihan skuad Projek Sukan SEA 2017 itu bagi menggantikan mana-mana pemain daripada senarai 31 orang itu yang disahkan cedera.

Mereka adalah pemain Kelantan, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed; Muhammad Zulkhairi Zulkeply (UiTM FC), Muhammad Irfan Zakaria (Kuala Lumpur), Muhammad Mohd Faudzi dan Muhammad Zuasyraf Zulkiefli (Terengganu FC II), Muhammad Syazwan Andik Mohd Ishak dan Muhamad Hafiy Haikal Ismail (JDT II).

Skuad B-22 negara bakal diuji dalam dua aksi persahabatan menentang pasukan B-22 Filipina pada 23 Mac ini disusuli pertemuan dengan pasukan kebangsaan Nepal, selang empat hari kemudian. Kedua-dua perlawanan akan berlangsung di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.

Dalam pada itu, Bernhardt menjelaskan beliau bersetuju memberi peluang kepada muka baharu menyertai sesi latihan pusat berkenaan selepas mempamerkan aksi cemerlang bersama pasukan masing-masing terutamanya dalam saingan Piala Presiden.

"Walaupun Piala Presiden baru saja bermula, kita sudah mengenal pasti beberapa pemain yang mempunyai kemahiran diperlukan daripada senarai yang terpilih dalam sesi pemilihan pada Januari lalu," katanya.

Bernhardt berkata, khidmat pemain Pahang, Matthew Davies yang mewakili Pahang bergantung kepada ketua jurulatih skuad Harimau Malaysia sama ada mahu menggunakan pemain berkenaan untuk menyertai skuad senior kebangsaan.

Menerusi dua aksi persahabatan berkenaan, jurulatih kelahiran Jerman itu berharap dapat mencari kesebelasan pasukan selain menguji pemain di posisi berbeza.

Senarai 31 pelatih:

Ahmad Solehin Mamat (Melaka); Amierul Hakimi Awang (Terengganu); Dominic Tan Jun Jin (JDT II); Mohd Adib Zainuddin (UiTM FC); Rodney Calvin Akwensive dan Nur Shamie Iszuan Amin (Sarawak); Muhammad Danish Haziq Saipul Hisham dan N. Thanabalan (Negeri Sembilan); Mohammad Faris Shah Mohd Rosli dan Muhamad Shahrul Hakim Rahim (Kelantan).

Mohamad Amirul Hisyam Awang Kechik dan Mohamad Raphi Azizan Mariappen (Kedah); Muhammad Arif Mohamed Anwar dan S Thipanraj (Kuala Lumpur); S. Kumaahran dan Muhd Jafri Muhammad Firdaus Chew (Pulau Pinang); Muhammad Safawi Rashid, Mohamad Arif Fadzilah Abu Bakar dan Mohd Zarulizwan Mazlan (Terengganu FC II); Matthew Davies, Muhammad Shah Amirul Mohd Zamri dan Mohamad Faisal Abdul Halim (Pahang).

Adam Nor Azlin (Selangor); Muhammad Syazwan Abdullah, Muhammad Syafiq Ahmad, Mohammad Farhan Roslan dan Muhammad Ariff Farhan Md Isa (Kedah); Muhammad Shazlan Abu Samah (Sime Darby FC); Muhammad Haziq Nadzli (PDRM); Ahmad Khairil Anuar Ahmad Zamri dan Muhammad Firdaus Saiyadi (Perak). - BERNAMA


Frank Bernhardt, skuad B-22

Artikel Lain