suria

KFA Beri Sokongan Kepada Bekas Pemain Terlibat Rasuah

Setiausaha Kehormat KFA, Datuk Aminuddin Omar

ALOR SETAR: Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) akan memberi sokongan kepada bekas pemain bola sepak Kedah yang terlibat dalam rasuah pada 1994 untuk membantu menaikkan kegemilangan sukan bola sepak negeri.

Setiausaha Kehormat KFA, Datuk Aminuddin Omar berkata walau bagaimanapun sokongan itu hanya akan diberi kepada bekas pemain yang telah selesai menjalani tempoh hukuman yang telah ditetapkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

"Sekiranya mereka mampu membantu menaikkan sukan bola negeri dan kebangsaan, kita akan beri sokongan tetapi sehingga kini tiada bekas pemain Kedah yang terlibat dalam isu ini yang datang berjumpa dengan saya untuk berbincang mengenai perkara itu.

Mereka boleh membuat rayuan dan kita akan pertimbangkan di peringkat negeri dan selepas itu akan cuba kemukakan usul tersebut kepada pihak FAM. Memang benar mereka mempunyai kemahiran yang boleh digunakan bagi memantapkan industri sukan bola sepak, namun banyak perkara yang perlu diambil kira," katanya kepada pemberita di Wisma Darul Aman di sini, Selasa.

Dalam perkembangan lain, Aminuddin berkata perbincangan akhir berkaitan penajaan skuad Helang Merah sedang berjalan diantara KFA dan pengasas syarikat produk kesihatan dan kecantikan D'Herbs Holdings (M) Sdn Bhd, Datuk Aliff Syukri Kamarzaman.

"Sehingga kini, kita belum menandatangani apa-apa perjanjian lagi dan kita belum dapat tarikh yang sesuai untuk berbincang dengan pihak D'Herbs sama ada tajaan akan berlangsung atau tidak dan jumlah tajaan juga tidak diketahui.

Kita ingin pastikan kedua-dua pihak selesa dalam proses tajaan ini jadi tiada syarat-syarat yang pelik diletakkan. Memang diakui, dana besar diperlukan untuk memastikan kelangsungan skuad Kedah jadi KFA juga sedang berusaha untuk mencari penaja-penaja yang berminat untuk menaja pasukan kita," katanya.

KFA, Rasuah

Artikel Lain