suria

Seri Dengan West Brom, Kedudukan Leicester Di Puncak Liga Tergugat

LEICESTER City gagal mencatat kemenangan dalam saingan Liga Perdana Inggeris menentang West Bromwich Albion, awal pagi Rabu, namun pengurusnya Claudio Ranieri tetap berpuas hati dengan keputusan seri oleh pasukannya.

Dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium King Power itu, kemaraan Leicester disekat oleh West Brom dengan keputusan 2-2. Keputusan ini turut menggugat kedudukan Leicester yang kini sedang berada di puncak liga.

Namun Leicester kini masih kekal di kedudukan pertama dengan 57 mata. Di belakangnya adalah Tottenham Hotspur yang ketika ini mencatat 54 mata.

Jika mampu menewaskan West Ham United  dalam perlawanan seterusnya, Spurs akan merampas tempat pertama liga dengan perbezaan jumlah gol.

Tetapi, situasi ini tidak membuatkan Ranieri marah atau cepat melatah. Sebaliknya, jurulatih dari Itali itu berpandangan Leicester sudah mempamerkan aksi yang baik walau tidak meraih kemenangan.

"Saya sangat berpuas hati dengan persembahan kami. Mereka bermain dengan baik dan tidak panik," katanya dipetik BBc Sport.

Bagi jurulatih berusia 64 tahun itu, Leicester turun bermain dengan lebih baik jika dibandingkan ketika menang 1-0 ke atas Norwich City pada 27 Februari lalu.

"Malam ini bukanlah satu situasi yang bagus tetapi kami masih berjuang hingga ke penghabisan. Semua pemain telah menunjukkan semangat juang dan bermain dengan bagus, cuma kami tak berjaya mendapatkan kemenangan," katanya.

Dalam perlawanan seterusnya, Leicester akan bertandang ke kandang Watford pada Sabtu.
EPL, puncak liga, Claudio Ranieri

Artikel Lain