suria

P.Langkawi Dan Genting Highlands Tiada Dalam Destinasi LTdL 2016

Khairy Jamaluddin
PUTRAJAYA: Pulau Langkawi dan Genting Highlands tersingkir dalam senarai destinasi bagi perlumbaan berbasikal berprestij Le Tour de Langkawi (LTdL) ke-21 atas faktor masalah masa dan kos yang tinggi.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata perlumbaan LTdL kali ini juga hanya melibatkan negeri di Pantai Barat tanpa penglibatan negeri Terengganu dan Kelantan atas sebab kekurangan dana.

Katanya perlumbaan itu hanya melibatkan lapan peringkat perlumbaan iaitu bermula di Kangar pada 24 Februari dan berakhir di Melaka pada 3 Mac, dengan jumlah jarak perlumbaan 1,182.4 kilometer.

"Kos untuk membawa basikal pasukan, kenderaan serta peralatan adalah tinggi.
Tahun depan kita akan masukkan semula Pulau Langkawi dan laluan Pantai Timur  dalam LTdL," katanya kepada pemberita selepas melancarkan imej dan pengumuman perlumbaan LTdL 2016 di Dewan Podium, Kementerian Belia dan Sukan hari ini.

Perlumbaan yang bertemakan Cabaran Terhebat Asia itu menyaksikan pertembungan 11 pasukan Eropah dan 11 pasukan Asia bertaraf dunia.

Bagaimanapun pada perlumbaan kali ini hanya menyaksikan tiga pasukan pro tour dan enam pasukan pro kontinental.

Edisi kali ini menyaksikan perlumbaan peringkat pertama bermula di Kangar ke Baling melibatkan 165.5 km diikuti Sungai Petani-George Town (159.8km), Kulim-Kuala Kangsar (107.0km), Ipoh-Cameron Highlands (129.5km), Tapah-Kuala Lumpur (149.9km), Putrajaya-Rembau (147.6km), Seremban-Parit Sulong (203.2km) dan peringkat terakhir dari Batu Pahat-Melaka (119.9km).

Dalam pada itu Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) LTdL ke-21 Emir Abdul Jalal berkata kurangnya penyertaan pro tour kerana pihak Kesatuan Berbasikal Dunia (UCI) lewat mengesahkan tarikh bagi perlumbaan LTdL kali ini.

Katanya disebabkan kelewatan tersebut, pihak penganjur sukar melakukan perbincangan dengan pasukan pro tour yang lain untuk menyertai perlumbaan tersebut.

Sementara itu Emir berkata walaupun perlumbaan kali ini tidak diadakan di Pulau Langkawi, pihaknya akan menyiarkan dokumentari khas selama lima minit mengenai Pulau Langkawi sebelum perlumbaan bermula.
LTdL 2016, Khairy Jamaluddin

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain