suria

Watford Tambah Derita Liverpool

Pengurus Watford, Quique Sanchez Flores meraikan kemenangan pasukannya bersama Ake di hujung perlawanan.

LONDON: Dua jaringan Odion Jude Ighalo menamatkan badi 29 tahun Watford berdepan Liverpool apabila mencatatkan kemenangan 3-0 pada aksi Liga Perdana Inggeris di Stadium Vicarage Road, malam Ahad.

Ia merupakan kemenangan keempat berturut-turut Watford dalam aksi liga.

Kali terakhir Watford menewaskan Liverpool ialah pada 1986 di gelanggang sendiri.

Pasukan tuan rumah mendahului menerusi gol Nathan Ake pada minit ketiga apabila penjaga gol Liverpool, Adam Bogdan gagal menangkap kemas bola hasil sepakan penjuru.

Bogdan yang tampil buat kali pertama bersama Liverpool musim ini cuba menangkap bola yang tampak tidak berbahaya namun ia terlepas sebelum disambar Ake yang kemudiannya menerjah gawang lawan.

Liverpool yang masih tercari-cari kemenangan selepas gagal melakukannya dalam tiga perlawanan sebelum ini memperkemaskan permainan namun gagal memecahkan benteng lawan yang berada dalam prestasi terbaik ketika ini.

Sebaliknya Watford mengukuhkan kedudukan dengan gol kedua Ighalo pada minit ke-15 apabila berjaya mengatasi halangan pertahanan Martin Skrtel selepas menerima hantaran dari tengah.

Watford nyaris menggandakan jaringan menerusi Ighalo yang cuba memanfaatkan kesilapan Mamadou Sakho pada minit ke-63 tetapi berjaya ditampan Bogdan.

Liverpool mendapat peluang terbaik menerusi Jordan Henderson pada minit ke-66 tetapi berjaya ditepis penjaga gol Watford, Heurelho Gomes. 

Ketika perlawanan berbaki lima minit, Ighalo menebus kesilapannya apabila menjaringkan gol ketiga pasukan tuan rumah menerusi tandukan kemas.

Dalam perlawanan berasingan, Swansea city terus menduduki zon tercorot liga selepas terikat seri tanpa jaringan dengan West Ham di Stadium Liberty, malam Ahad.

Swansea yang diurus pengurus sementara Alan Curtis selepas pemecatan Garry Monk pada minggu lalu mempamerkan aksi bertenaga tetapi gagal membolosi benteng pertahanan pasukan lawan.

Swansea sekadar mengumpul 15 mata daripada 17 perlawanan setakat ini.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Keputusan Liga Perdana Inggeris

Artikel Lain