suria

Harimau Muda A Dikekal, Sasar Pingat Emas Sukan Sea Di Singapura

Ong Kim Swee

KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah memutuskan skuad Harimau Muda A dikekalkan dengan matlamat utama meraih pingat emas Sukan SEA di Singapura tahun hadapan. 

"Mereka perlu dikekalkan dalam pasukan sehingga kejohanan Sukan SEA dahulu, ini adalah Petunjuk Prestasi Utama (KPI) pasukan ini," titah baginda selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pasukan Kebangsaan di Hotel Royal Chulan, Jumaat.

Tengku Abdullah juga bertitah skuad Harimau Muda A kendalian Datuk Ong Kim Swee akan beraksi di Liga Singapura pada tahun depan.

Sementara itu baginda bertitah pasukan Harimau Muda B pula akan dikekalkan sehingga Mac tahun depan bagi persiapan menghadapi kejohanan bola sepak kelayakan Asia bawah 22 tahun (B-22). 

Harimau Muda C pula akan kekal di dalam Liga FAM.

Sementara itu Kim Swee ketika ditemui pemberita berkata beliau menyambut baik keputusan FAM untuk mengekalkan pasukan Harimau Muda A, B dan C dalam persediaan menghadapi beberapa kejohanan penting pada tahun depan.

"Raih pingat emas di Sukan SEA tahun depan adalah KPI saya, jadi ia merupakan tugas berat dan saya sahut cabaran itu. Saya sudah mempunyai perancangan untuk pasukan. Skuad Harimau Muda A juga tahu mereka akan beraksi dalam Liga Singapura tahun depan.

"Pada masa yang sama, saya inginkan perlawanan persahabatan antarabangsa bawah 23 tahun. Ini yang mustahak, kita tidak boleh bermain dalam liga sahaja tetapi tiada perlawanan persahabatan antarabangsa," kata Kim Swee.

Sebelum ini, tersebar khabar angin mengenai pembubaran skuad Harimau Muda A berikutan kegagalan pasukan itu mencapai sasaran ke peringkat suku akhir Sukan Asia di Incheon, Korea Selatan apabila tersingkir pada peringkat kumpulan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain