suria

Skuad Hoki Berputih Mata Terlepas Slot Perlawanan Akhir

Pemain Malaysia Muhammad Firhan Ashaari cuba melepasi asakan pemain Pakistan Muhammad Irfan dalam perlawanan separuh akhir di Stadium Hoki Seonhak, Incheon pada Selasa.
INCHEON: Skuad hoki negara terpaksa berputih mata apabila terlepas slot ke perlawanan akhir acara hoki lelaki Sukan Asia ke-17 di Incheon, Korea Selatan.

Malaysia tewas tipis kepada Pakistan 5-6 pada perlawanan separuh akhir yang berlarutan kepada penentuan 'penalty shoot out' di Seonhak Hockey Stadium pada Selasa.

Gol-gol Pakistan dijaringkan oleh Muhammad Waqas (dua gol), Abdul Haseem Khan (dua gol) dan Rashid Mehmood (dua gol).

Gol-gol Malaysia pula diperoleh menerusi Muhammad Marhan Mohd Jalil, Mohd Fitri Saari (dua gol) dan Muhammad Shahril Saabah (dua gol).

"Secara peribadi, saya sangat yakin kita dapat tewaskan mereka kerana secara taktikal kita bermain lebih baik. Kita susun perlawanan dengan baik, kita dapat tiga sudut penalti. Kami dah putuskan dalam mesyuarat antara saya dengan tiga 'flicker'.

"Kami membuat keputusan itu kerana ia telah berjaya sebelum ini tetapi ia tidak berlaku. Kami juga mempunyai peluang kedua dan ketiga tetapi tidak berjaya," kata jurulatih sementara skuad kebangsaan Arul Selvaraj kepada pemberita di sini.

Dalam pada itu, Arul berbangga dengan persembahan anak buahnya yang berjaya menghalang Pakistan daripada memperoleh sebarang pukulan sudut penalti pada dua suku pertama perlawanan.

"Saya sangat berbangga dengan pasukan ini. Saya mempunyai 35 hari untuk menyediakan pasukan ini. Saya telah capai matlamat peribadi saya iaitu setiap perlawanan kita bermain dengan bersungguh-sungguh dan bersemangat. Semoga mereka dapat teruskan semangat ini ketika bertemu Korea Selatan untuk pingat gangsa," katanya.

Pada babak pertama perlawanan, Pakistan memulakan permainan dengan melakukan asakan ke arah kubu Malaysia, namun gagal memasuki kawasan D ekoran kawalan pertahanan yang kemas.

S. Kumar ternyata cemerlang apabila berjaya mematahkan beberapa percubaan berbahaya ke arah pintu gol Malaysia termasuk pukulan sudut penalti 'berbisa' Pakistan pada minit ke-66.

Kedua-dua pasukan 'memanaskan' perlawanan apabila masing-masing melakukan serangan bertali arus bagi mencari gol pendahuluan.

Malaysia bagaimanapun hampir berpeluang membolosi gawang Pakistan menerusi tiga pukulan sudut penalti namun gagal disempurnakan dengan baik oleh Muhammad Razie Abdul Rahim.

Sementara itu, penjaga gol skuad kebangsaan, S. Kumar berkata agak sukar untuk menerima kekalahan dalam penentuan 'penalty shoot out' hari ini, namun mereka masih berpeluang untuk menebus kekalahan itu dengan perlawanan penentuan pingat gangsa menentang Korea Selatan pada Khamis.

"Saya pun tidak suka kalah di shoot out. Saya sudah merasakan bahawa perlawanan dengan Pakistan akan berlanjutan kepada penalty shoot out.

"Kami cuba melakukan latihan khas penalty shoot out namun perkara ini sebenarnya tidak boleh dilakukan dalam masa yang singkat. Dan kita terpaksa akur, kita terlepas beberapa peluang ketika penalty shoot out," katanya.

Beliau turut mengakui bahawa pasukan ini adalah yang terbaik dan menampakkan semangat sepasukan yang luar biasa pada temasya kali ini.

"Kami akan bermain bersungguh-sungguh untuk mendapatkan pingat gangsa," katanya.

hoki, Sukan Asia, Malaysia, Pakistan

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain