suria

Pilihan Selangor Pertahan Kejuaraan Piala Sultan Selangor

Pemain Pilihan Selangor meraikan kemenangan menjuarai Piala Sultan Selangor selepas menewaskan Pilihan Singapura 2-1 di Stadium Shah Alam, malam Sabtu. - foto AZHAR MAHFOF/The STAR
SHAH ALAM: Pasukan Pilihan Selangor berjaya mempertahankan Piala Sultan Selangor selepas menundukkan Pilihan Singapura dengan kemenangan 2-1 di Stadium Shah Alam, di sini malam Sabtu.

Kemenangan tersebut membolehkan Pilihan Selangor kendalian Mehmet Durakovic meraih kejuaraan buat kali ketujuh selepas memenanginya pada 2001, 2003, 2005, 2008, 2012 dan 2013.

Pilihan Singapura pula muncul juara pada 2006, 2007, 2009, 2010 dan 2011.

Berdasarkan rekod, kedua-dua pasukan muncul juara bersama pada edisi 2004 di Stadium Nasional Singapura yang berkesudahan dengan keputusan seri 2-2.

Pada aksi yang disaksikan hampir 70,000 penyokong itu, skuad Pilihan Selangor melancarkan serangan bertali arus bagi memburu gol awal sebaik sahaja pengadil dari Indonesia, Thoriq Munir Alkatiri meniup wisel.

Mereka hampir berada di hadapan pada minit ke-14, namun percubaan Paulo Rangel hasil hantaran S. Kunalan, sekadar melintasi tepi gol Pilihan Singapura.

Usaha pasukan Pilihan Selangor akhirnya membuahkan hasil apabila penyerang, Paulo Rangel membuka tirai jaringan menerusi sepakan penalti pada minit ke-45 selepas beliau dijatuhkan oleh pemain pertahanan lawan, Muhd Ridhuan Muhamad.

Pilihan Singapura bertambah malang selepas pemain sayap mereka, Muhammad Hafiz Abu Sujad diarah meninggalkan padang oleh Thoriq selepas mengutip kad kuning kedua.

Bersambung babak kedua, kedua-dua saling berbalas serangan namun nasib lebih memihak kepada Pilihan Singapura yang berjaya menyamakan kedudukan hasil sepakan percuma oleh Leonel Felice pada minit ke-68.

Tersentak dengan jaringan tersebut, Pilihan Selangor kembali memperkemaskan corak permainan dan berjaya menggandakan kedudukan hasil sentuhan penyudah Rangel pada minit ke-79. Keputusan itu kekal sehingga berakhirnya perlawanan.

Selaku juara, Pilihan Selangor membawa pulang trofi dan wang tunai berjumlah RM50,000 yang disampaikan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah kepada kapten pasukan, Mohd Bunyamin Umar manakala Pilihan Singapura kendalian Amin Nasir meraih RM10,000 selaku naib juara.

Terdahulu, Veteran Selangor dan Singapura terikat seri 1-1 pada aksi yang berlangsung selama 40 minit.

Anuar Abu Bakar membuka tirai jaringan untuk Veteran Selangor seawal minit keenam sebelum Veteran Singapura menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti yang disempurnakan oleh Steven Tan pada minit ke-20.

Piala Sultan Selangor diilhamkan oleh baginda sendiri yang melibatkan pasukan pilihan serta veteran Selangor dan Singapura bagi merapatkan hubungan antara kedua-dua pihak.

Baginda juga merupakan penaung kejohanan yang diperkenalkan sejak 2001 yang ketika itu dikenali sebagai Piala Pemangku Raja Selangor.

Artikel Sebelum

Chelsea Terus Kuasai Takhta Liga

Artikel Berikut

Artikel Lain