Malaysia Memang Tidak Berupaya Tandingi China - Sukan | mStar

Malaysia Memang Tidak Berupaya Tandingi China

KUALA LUMPUR: Tidak banyak peminat tegar badminton atau mereka yang mengikuti secara dekat perkembangan Piala Thomas sejak sekian lama secara jujur percaya bahawa Malaysia mampu mengalahkan China pada perlawanan separuh akhir malam semalam.

Begitu juga, tidak banyak orang menjangka Malaysia akan kalah dengan begitu mudah, terutama pada perlawanan pembukaan kejohanan ini yang sepatutnya hanya menampilkan pasukan badminton terhebat dunia.

Pada kejohanan ini, Malaysia turut diwakili pemain perseorangan Nombor 1 dunia Datuk Lee Chong Wei dan pasangan beregu Nombor 1 dunia Koo Kien Keat-Tan Boon Heong.

Tetapi, apabila persembahan pemain-pemain Malaysia itu begitu hambar dan mudah dikalahkan oleh lawan mereka, peminat badminton di seluruh dunia mungkin menganggap ada sesuatu yang tidak kena dengan kaedah pemberian ranking oleh Persekutuan Badminton Dunia (WBF).

Bukanlah sesuatu yang keterlaluan jika dikatakan bahawa 10,000 peminat badminton yang membanjiri Stadium Putra malam semalam bagi memberi sokongan tidak berbelah bagi kepada Malaysia, akhirnya meninggalkan stadium itu dengan penuh kehampaan apabila pasukan pujaan mereka tersungkur di gelanggang sendiri.

Malah, kelihatan banyak penonton meninggalkan stadium itu sebelum pemain perseorangan kedua China Chen Jin memperoleh mata kemenangan dalam perlawanan dengan pemain veteran Malaysia Wong Choong Hann, yang telah beraksi dalam tujuh pusingan akhir kejohanan Piala Thomas.

Sebagai seorang yang sentiasa mengikuti perkembangan sukan nombor satu di Malaysia ini berdasarkan kedudukan kita sebagai kuasa dunia dalam sukan badminton sejak lebih 50 tahun lepas saya dapati persembahan pasukan Malaysia malam semalam mendedahkan banyak perkara, yang kesemuanya bolehlah disimpulkan dalam satu kenyataan bahawa Malaysia tidak cukup kuat untuk muncul sebagai juara Piala Thomas kali ini. Pertama, kita mungkin dibuai "sindrom sudah berpuas hati" hanya kerana Chong Wei dianggap pemain Nombor 1 Dunia sejak sekian lama.

Begitu juga halnya dengan gandingan Kien Keat-Boon Heong yang diberi ranking sebagai pasangan beregu Nombor 1 Dunia.

Tetapi, hakikatnya, Lin Dan adalah pemain yang mempunyai kelas tersendiri dan kemampuan ayam tambatan Malaysia, Chong Wei, sekadar memperoleh lapan mata pada set kedua pertemuan mereka, menjadikan perlawanan itu perlawanan paling berat sebelah pada kejohanan Piala Thomas kali ini.

Perihal Lin Dan tidak dinobatkan sebagai pemain Nombor 1 Dunia tidak perlu dihairankan kerana pemain handalan China ini hanya memilih kejohanan berkualiti untuk disertainya, berbanding Chong Wei, yang nampaknya lebih mementingkan kuantiti bagi mendapatkan sebanyak mungkin mata untuk mengejar ranking teratas.

Begitu juga halnya dengan pasangan beregu China Cai Yun dan Fu Haifeng. Walaupun mereka menduduki tangga kelapan dunia, tetapi pasangan itu ternyata jauh lebih hebat daripada pasangan beregu Nombor 1 Malaysia.

Lihat pula barisan jurulatih Malaysia. Soalan yang perlu ditanya ialah: Adakah mereka cukup berkebolehan untuk mempersiapkan pemain kita dalam menghadapi kejohanan besar?

Dalam sukan bola sepak, pencapaian sesebuah pasukan berkait rapat dengan sejauh mana seseorang jurulatih itu mampu membentuk dan merangsang pemainnya ke arah mencapai kejayaan.

Jika kriteria yang digunakan dalam membentuk pasukan bola sepak yang kuat dijadikan asas dalam membuat penilaian tentang prestasi Malaysia pada perlawanan malam semalam, maka pelbagai kelemahan dan kecacatan serius dapat kita temui.

Dalam badminton, seseorang pemain memerlukan strategi berbeza apabila bertemu dengan pemain berbeza. Malangnya, Malaysia menggunakan strategi serupa ketika bertemu dengan semua lawannya.

Sejurus selepas kekalahan Malaysia itu, presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Datuk Nadzmi Mohd Salleh berkata barisan jurulatih Malaysia tidak akan mengalami perubahan drastik. Kenyataan beliau itu merupakan suatu perkhabaran buruk bagi para peminat badminton tempatan, yang mengharapkan bahawa sekurang-kurangnya Nadzmi akan mengumumkan beliau akan memberi perhatian serius terhadap usaha mencari jurulatih yang lebih berkualiti. Adakah harapan peminat badminton untuk melihat perubahan secara besar-besaran dilakukan bagi melahirkan pasukan badminton Malaysia yang kuat adalah sesuatu yang keterlaluan?

Kelemahan paling ketara dalam strategi Malaysia kali ini ialah menurunkan Choong Hann sebagai pemain perseorangan kedua, sedangkan pemain veteran ini ternyata tidak banyak mencapai kejayaan besar sepanjang menyertai kejohanan peringkat dunia.

Malah, pada kejohanan Piala Thomas kali ini, dia kalah semua perlawanan.

Oleh itu, adalah sesuatu yang melegakan apabila Chong Hann mengumumkan bahawa ini merupakan kali terakhir dia beraksi pada kejohanan Piala Thomas.

Persembahan tidak bertenaga pasukan Malaysia sewajarnya membuka mata semua pihak dalam BAM untuk bermuhasabah diri.

Nadzmi sendiri perlu merangka perancangan baru. Sekiranya bedah siasat menunjukkan bahawa langkah drastik perlu diambil bagi meletakkan kembali badminton negara ini di landasan yang boleh membawa kepada pencapaian gemilang, maka ia perlu dilaksanakan, walaupun ada pihak yang tidak selesa mengenainya.

Artikel Sebelum

Li Yongbo Akur Kekalahan China

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Tingkatkan kemahiran, produktiviti untuk lonjakkan status ekonomi Harimau Asia

DALAM usaha untuk melonjakkan status sebagai ekonomi Harimau Asia, Malaysia berusaha untuk mengukuhkan ekonomi dan status fiskal menjelang 2021.

default image

Pelan Pembangunan KL... inilah harapan warga kota

INFRASTRUKTUR dan pengurusan bandar yang lebih baik merupakan perkara teratas dalam senarai Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 (PSKL) yang ingini penduduk Kuala Lumpur.

default image

Ketahui 8 petunjuk bagi memantau manfaat WKB 2030 dikongsi rakyat

INDIKASI sosial sedang dibina bagi memastikan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) memenuhi sasaran dan memberi manfaat kepada semua.

default image

Air Selangor kini pemegang lesen tunggal perkhidmatan bekalan air… pengguna bakal terima bil baharu!

MENDAPATKAN bekalan air bersih yang berterusan sudah menjadi satu kemestian dalam kehidupan masyarakat hari ini.

default image

Percutian travel tren janjikan servis 'awesome' dan 1,001 pengalaman menakjubkan!

TRAVEL serata dunia lebih pantas dengan menggunakan kapal terbang tetapi amat menyeronokan jika tren menjadi pilihan.

Artikel Lain