suria

Empat Kapal Layar TLDM Tekad Raih Kejayaan Pada RLIR 2010

LANGKAWI: Pasukan kapal layar Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bertekad meraih kejayaan cemerlang pada Royal Langkawi International Regata 2010 yang berlangsung di sini mulai hari ini sehingga 16 Januari ini.

Setiausaha Persatuan Kapal Layar TLDM Lt Chin A/L In berkata TLDM diwakili empat kapal layar iaitu Navy Satu, Navy Dua, Marikh dan Zuhal yang akan membawa cabaran pada regata itu.

Seramai 31 pelayar menjalani latihan di perairan Langkawi selama dua minggu dan sebelum itu di Lumut selama sebulan untuk memantapkan persiapan pasukan TLDM menjelang regata berkenaan, kata Chin semasa sesi latihan di perairan Langkawi hari ini.

Chin meramalkan pasukan TLDM akan menerima saingan sengit daripada beberapa negara seperti Hong Kong, Singapura dan Australia.

Selain TLDM, Persatuan Pelayaran Malaysia (MYA) menghantar satu pasukan bawah 25 tahun untuk mewakili Malaysia pada regata anjuran Royal Langkawi Yacht Club itu.

Sementara itu, 29 peserta kapal layar dari 10 negara mengesahkan penyertaan dalam regata berkenaan, antaranya dari Australia, Singapura, Hong Kong, Belanda, New Zealand, Norway dan tuan rumah Malaysia.

Antara kategori yang dipertandingkan ialah Racing class, Sport boats, Multihull class, IRC class dan club class.

Regata itu merupakan pembuka tirai kejohanan layar di Langkawi pada tahun 2010 yang akan disusuli dengan Regata Perdana anjuran MYA dari 27 hingga 31 Januari ini. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain