suria

Sukan Layar: Mohd Romzi Kekal Kedudukan Pada Kejohanan Australia

LANGKAWI: Pelayar negara Mohd Romzi Muhamad berjaya mengekal kedudukan di tangga kedua keseluruhan selepas lapan perlumbaan dalam kategori Laser Radial pada Kejohanan Kebangsaan Australia di Adelaide, Australia.

Bagaimanapun, kedudukan seorang lagi pelayar negara Khairulnizam Mohd Afendy terus merosot apabila turun ke tangga ketujuh selepas menduduki tempat ketiga semalam.

Pengurus Besar Persatuan Pelayaran Malaysia (MYA), Mohd Afendy Abdullah berkata, tiupan angin kencang hari ini tidak dapat membantu pelayar negara menampilkan presembahan baik.

Pelayar Olimpik Singapura Koh Seng Leong masih menjadi pendahulu keseluruhan kategori itu.

Menerusi e-mel kepada Bernama di sini, Mohd Afendy berkata dalam kategori Laser Standard, peserta negara Nik Ashraf Nik Azizan turun di tangga ke-22 manakala Harrithammry Nassution menduduki tempat ke-26.

Dalam acara International 420, gandingan Ku Anas Ku Zamil dan Muhamad Hafizzudin Mazelan kekal tangga kesembilan keseluruhan diikuti pelayar pelapis kebangsaan, Khairunisa Mohd Afendy dan Norashikin Mohamad Sayed di tangga ke-13.

Seramai 94 pelayar dari tujuh negara antaranya Perancis, Singapura, New Zealand, Malaysia dan Australia menyertai kejohanan itu.

Penyertaan Malaysia pada kejohanan itu adalah sebagai persiapan menyertai Kejohanan Asia di China, Mac ini. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain