suria

Persatuan Sukan Diminta Tumpu Latihan Atlet Sukma Ke-13

MELAKA: Semua persatuan sukan di Melaka diminta memberi tumpuan latihan kepada atlet yang menyertai Sukan Malaysia (Sukma) ke-13 yang akan berlangsung di negeri ini, pada Jun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Perpaduan, Belia dan Sukan Melaka Datuk Abdul Karim Sulaiman berkata aspek ketahanan fizikal dan mental perlu dipersiapkan agar setiap atlet dapat beraksi dengan cemerlang.

"Terdapat 700 atlet Melaka akan beraksi pada Sukma ke-13 dengan kita mensasar memungut lebih 40 pingat emas," katanya kepada pemberita selepas perhimpunan kontinjen Melaka Sukma ke-13 di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini, hari ini.

Temasya sukan dwitahunan itu akan berlangsung dari 10 hingga 19 Jun depan, mempertandingkan 34 acara.

Abdul Karim berkata persatuan sukan yang menghadapi masalah boleh terus menemui beliau bagi mencari jalan penyelesaian dan mengelakkan prestasi atlet terjejas.

Beliau berkata bagi memastikan sasaran pungutan pingat emas itu dicapai, Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Ali Rustam akan membuat pemantauan aspek latihan dan prestasi para atlet. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain