suria

Ismahalil diperintah bela diri kes edar dadah, berdepan hukuman mati

Ismahalil didapati bersalah mengedar dadah jenis kanabis.

BEKAS penyampai radio Ismahalil Hamzah diperintah membela diri oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis dua tahun lalu.

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan prima facie terhadap tuduhan itu.

Dalam penghakiman ringkasnya, Muhammad Jamil berkata mahkamah mendapati 22 paket dadah yang ditemukan dalam bilik tertuduh berada dalam kawalan dan jagaannya.

isma2 - 1

Ismahalil diperintah membela diri.

"Semasa serbuan di bilik itu, tertuduh sendiri mengambil beg, yang mengandungi dadah daripada lantai dan memberinya kepada pegawai polis selepas ditanya sama ada terdapat barang salah.

"Kelakuan tertuduh yang mengambil sendiri beg itu dan dilihat berada dalam keadaan mencurigakan menunjukkan tertuduh mengetahui kewujudan dadah tersebut.

"Oleh itu, pihak pendakwaan berjaya membuktikan dadah berkenaan berada dalam kawalan tertuduh," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Surat dari penjara... Penyampai radio Isma Halil luah rasa rindu mahu peluk cium ibu, tak dapat tunai janji dengan arwah bapa

ARTIKEL BERKAITAN: Polis sahkan Yoo Ah In ambil ganja, klinik sekitar Gangnam diserbu polis

Justeru mahkamah kemudian memberikan tiga pilihan kepada tertuduh berhubung bicara bela diri itu.

Pilihan pertama adalah memberikan keterangan bersumpah dalam kandang tertuduh di mana pihak pendakwaan boleh menyoal balas.

Kedua, memberi keterangan dalam kandang tertuduh tanpa mengangkat sumpah dan pendakwaan tidak boleh menyoal balas keterangan.

Manakala pilihan ketiga ialah berdiam diri tanpa menjawab tuduhan.

Ismahalil kemudian memilih pilihan pertama iaitu keterangan bersumpah dalam kandang di mana pihak pendakwaan boleh menyoal balas keterangan.

Peguam bela tertuduh iaitu Datuk Ahmad Zaharil Muhaiyar menyatakan lima saksi pembelaan termasuk tertuduh akan dipanggil memberi keterangan dan memohon tarikh prosiding itu pada 30 dan 31 Mei ini.

Pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Noor Dayana Mohamad, tidak membantah cadangan tarikh berkenaan.

isma1 - 1

Ismahalil berdepan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Ismahalil, 49, dilihat menangis teresak-esak sambil memandang isteri dan anak-anaknya yang berada di galeri awam.

Untuk rekod, Ismahalil mengaku tidak bersalah atas dakwaan mengedar dadah jenis kanabis 374.6 gram di sebuah rumah di Jalan Semarak, Wangsa Maju, Kuala Lumpur pada 5.35 petang, 27 Ogos 2021.

Dia dituduh mengikut Seksyen 39B(1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain