suria

Bintang sitkom 'Baba Nyonya' meninggal dunia

Datuk Kenny Chan yang terkenal menerusi watak Bibik Kim Neo dalam sitkom Baba Nyonya meninggal dunia pada Selasa.

PELAKON veteran Datuk Kenny Chan, 68, yang popular menerusi sitkom Baba Nyonya meninggal dunia di sebuah hospital di Melaka pada Selasa.

Isteri mendiang, Datin Fern Loo ketika dihubungi The Star mengesahkan mengenai perkara itu.

Loo memberitahu mendiang dimasukkan ke hospital pada Isnin selepas terkena jangkitan paru-paru.

“Beliau dimasukkan ke hospital pada Isnin lalu disebabkan jangkitan paru-paru.

“Kami menyangka beliau akan kembali pulih,” katanya.

Chan meninggalkan tiga orang anak iaitu Darrick, Allen dan Shalyn.

Mendiang sebelum ini terkenal menerusi watak sebagai Bibik Kim Neo dalam Baba Nyonya yang disiarkan di TV1.

Bergandingan dengannya dalam sitkom itu Chee Hood Siong yang memegang watak sebagai Ah Chim.

Chee bagaimanapun meninggal dunia pada 2011.

Baba Nyonya pernah diiktiraf oleh Malaysia Book of Records sebagai sitkom terpanjang pernah disiarkan di negara ini iaitu dari 1980 hingga 2000 dengan jumlah 509 episod.

Selepas sitkom itu tamat, Chan pernah mengembalikan populariti wataknya menerusi penampilan istimewa dalm filem arahan Namewee, Nasi Lemak 2.0.

Mendiang yang meminati masakan peranakan turut membuka restoran Big Nyonya di Melaka.

Artikel Lain