suria

"Saya Bukan Baru Jadi Pengacara, PM Suka" - Rosyam Nor

PETALING JAYA: Penerbit dan pelakon Datuk Rosyam Nor memberitahu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak suka dengan cara dia mengendalikan program Dialog TN2050 yang berlangsung malam Rabu lalu.

Biarpun tercetus sedikit insiden pertelingkahan antara penerbit David Teo dan pelawak veteran Sulaiman Yassin atau Mat Over, Rosyam berkata, dia berjaya mengawal keadaan berkenaan dengan baik sehingga tamat majlis.

"Alhamdulillah perdana menteri suka sangat cara saya mengendalikan majlis itu dan sebenarnya pihak mereka dua kali datang ke pejabat saya untuk beri penerangan.

"Saya juga sudah banyak pengalaman mengendalikan program-program untuk agensi kerajaan, saya minta beliau untuk buat secara santai dan mulakan dengan selfie.

"Berkenaan insiden itu, saya bukan baru jadi pengacara, saya cukup matang untuk mengendalikan situasi itu, mungkin kalau berlaku pada orang lain agak sukar untuk mereka kendalikannya," ujarnya.

Mat Over dan David Teo bersalaman dihadapan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Rosyam bertindak sebagai moderator untuk majlis dialog bersama penggiat seni yang berlangsung kediaman Perdana Menteri, Seri Perdana, Putrajaya.

Sementara itu, dalam kejadian insiden itu, David ditampar oleh Mat Over selepas mempertikaikan cara Rosyam mengendalikan program berkenaan.

David merasakan cara Rosyam mengendalikan program itu tidak adil kerana hanya memberi fokus kepada tetamu bahagian hadapan sahaja.

Rosyam berkata, sebagai salah seorang penggiat seni, dia juga kecewa dengan kejadian yang berlaku.

"Saya agak bercelaru ketika kejadian itu, ia tidak sepatutnya berlaku kerana kita diberi peluang oleh Perdana Menteri untuk beri pandangan.

"Dalam perkara ini, kita kena ikut pepatah masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang kerbau menguak. Apa yang berlaku itu tidak mewakili semua penggiat seni," ujarnya.

David bersalaman dengan Najid manakala Mat Over memeluk Rosyam.

Dalam pada itu, Rosyam berkata, perdana menteri telah memberi respon positif kepada semua idea dan menjawab soalan -soalan daripada penggiat seni yang hadir.

"Pegawai-pegawai beliau sudah mencatat semua soalan yang ditanya dan perdana menteri juga sudah menjawab 90 peratus soalan mereka. Beliau juga bersetuju mengadakan dialog seperti ini sekali lagi," ujarnya.

Artikel Lain