suria

Hafiz Hamidun Selamat Bertunang, 1 Mei Tarikh Nikah



SHAH ALAM: Penyanyi Hafiz Hamidun selamat mengikat tali pertunangan dengan pengasas kosmetik, Joy Revfa dalam satu majlis khas di sini kira-kira pukul 3.20 petang Rabu.

Ibu Hafiz, Laila Sarji, 54, menyarungkan cincin pertunangan ke jari manis Joy yang kelihatan anggun mengenakan busana berwarna peach (kuning kemerah-merahan).

Hafiz, 33, yang memakai baju Melayu daripada rona yang sama menyerahkan lima dulang berbalas tujuh dulang hantaran kepada Joy atau nama sebenarnya Siti Arifah Amin.

Joy Revfa (tengah) bakal menjadi suri kepada Hafiz Hamidun.

Menurut Hafiz, dia dan Joy, 30, akan melangsungkan majlis pernikahan pada 1 Mei depan bertempat di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini.

"Selepas beberapa kali gagal dalam percintaan, saya yakin Joy adalah wanita yang sesuai sebagai suri hati.

"Dia mempunyai aura sebagai wanita yang tabah mengharungi kehidupannya selama ini," katanya.

Joy yang sebelum ini pernah berkahwin mempunyai seorang anak lelaki bernama Arryan Firdaus yang kini berusia tiga tahun.

Majlis pertunangan yang diadakan di The Venue Shah Alam ini dihadiri oleh ahli keluarga kedua-dua belah pihak.

Hafiz Hamidun

Artikel Lain