suria

Syafie Naswip Sukar Lakonkan Watak Lelaki Dewasa

Syafie akui mampu bawakan watak lelaki dewasa. -foto HAZIM FAUZI / The Star

AMPANG: Akibat sering menghidupkan watak remaja dan kanak-kanak, pelakon Syafie Naswip mengakui sukar untuk menjiwai karakter lelaki dewasa seiring usianya.

Jelas Syafie, 25, dia terpaksa berusaha keras bagi memastikan watak yang dilakonnya tidak kelihatan janggal di mata penonton.

"Ketika melakonkan watak Zamani dalam drama Sape Dari Itali saya mengambil masa hampir seminggu untuk menjiwai watak itu.

"Cabarannya ialah untuk pastikan saya kelihatan seperti lelaki dewasa berumur 28 tahun tahun yang bekerja di pejabat," katanya kepada mStar Online.

Syafie ditemui pada majlis sidang media drama bersiri Sape Dari Itali terbitan Bright Network Sdn Bhd.

Drama 26 episod itu menggandingkan Syafie dan Nadia Brian yang melakonkan watak Lisandra sebagai pelakon utama.

Sape Dari Itali akan mula ditayangkan pada 23 Mac ini menerusi slot Selekta Prima di TV2.

Syafie bergandingan bersama Nadia Brian dalam drama Sape Dari Itali.

Selain itu tambah Syafie, dia tidak mahu dilabel sebagai pelakon stereotaip dan hanya mampu melakonkan watak remaja.

"Saya sudah berusia 25 tahun, sudah dewasa... saya bukan kanak-kanak lagi.

"Jadi sebagai pelakon saya harap penonton dapat terima lakonan saya walaupun karakternya berbeza dengan watak yang sering saya bawakan sebelum ini," katanya.

Namun jelas pelakon yang mula berlakon sejak umur 10 tahun menerusi filem Mukhsin arahan Yasmin Ahmad itu lagi, dia tidak akan mensia-siakan tawaran lakonan kerana ia adalah punca rezekinya selama ini.

"Saya tak ambil pusing kalau penonton selalu kaitkan saya sebagai pelakon remaja. Sekurang-kurangnya jangka hayat saya sebagai pelakon akan lebih lama kerana boleh membawakan watak lebih muda daripada usia.

"Malah penampilan dan raut wajah saya juga tidak membataskan saya melakonkan watak orang dewasa yang sedang bercinta atau ingin berkahwin," katanya.

Syafie Naswip

Artikel Lain