suria

Syamsul Yusof Patah Bahu Kiri Lakonkan Babak Aksi

Syamsul Yusof

PETALING JAYA: Pengarah dan pelakon Syamsuf Yusof patah bahu kiri selepas melakukan satu babak aksi ketika penggambaran filem baharu lakonannya berjudul Makrifat Cinta.

Syamsul, 32, berkata, kejadian itu berlaku pada malam Isnin ketika dia melakukan lompatan pada satu babak letupan di lokasi penggambaran di Putrajaya.

"Semalam selepas terjatuh, bahu saya rasa sakit dan kru membawa saya ke klinik berhampiran.

"Pada mulanya pihak klinik memberitahu saya hanya retak sedikit sahaja, tetapi pagi tadi bahu saya terlalu sakit dan saya pergi ke Pusat Perubatan Prince Court pula untuk buat pemeriksaan lanjut.

"Doktor mengesahkan bahu kiri saya patah dan perlu berehat daripada membuat sebarang kerja berat, mereka mahu saya dirawat di hospital tapi saya berkeras mahu balik," ujarnya kepada mStar Online.

Syamsul mengalami patah bahu kiri ketika penggambaran.
Syamsul berkata, dia kini dalam proses menjalani penggambaran filem cinta terbitan produksi baharu Dhananwodd Films yang diarahkan oleh pengarah baharu Kamal G.

Filem tersebut turut dibintangi oleh pelakon terkenal Nora Danish, Nabila Huda, Adi Putra dan Putri Balqis.

Sementara itu, Syamsul berkata, dia tidak boleh mengambil cuti rehat yang panjang bagi mengelakkan penggambaran terjejas.

"Saya pun tidak tahu sampai boleh patah tulang kerana sebenarnya babak itu mudah sahaja, mungkin juga saya sudah tua dan tulang pun tidak kuat macam dulu.

"Bagaimanapun, saya tidak akan berehat panjang kerana tidak mahu menjejaskan penggambaran tersebut.

"Nasib baik juga, watak selepas ini memang memerlukan saya memakai penganduh.

Sementara itu, ditanya tentang filem berkenaan, Syamsul mengakui dia menerima tawaran untuk berlakon dalam filem terbitan produksi luar berikutan ia datang tepat pada masanya.

Selain itu, katanya, skrip yang kuat serta para pelakon yang belum pernah bekerjasama turut menarik minatnya untuk terlibat.

"Filem ini merupakan filem cinta pertama saya, sebelum ini memang banyak tawaran tapi saya terpaksa tolak kerana bertindan dengan kerja saya.

"Tawaran ini datang betul-betul ketika saya sedang berehat sebelum menyambung projek filem Munafik 2 tidak lama lagi," ujarnya.
Syamsul Yusof

Artikel Lain