suria

Lima Peserta Mara Ke Final AF2016

Barisan pelajar berjaya ke final AF2016 yang bakal berlangsung pada 9 Oktober ini. -Foto IZZRAFIQ ALIAS

SHAH ALAM: Lima peserta iaitu Ara, Reshma, Afi, Amir dan Amal berjaya melayakkan diri ke peringkat akhir konsert Akademi Fantasia 2016 (AF2016).

Pengumuman itu dibuat oleh pengacaranya Alif Satar dan Zizan Razak pada konsert separuh akhir AF2016 bersiaran secara langsung dari Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di sini pada malam Ahad.

Bagaimanapun, peserta yang bertanding pada peringkat separuh akhir iaitu Zarol dan Rahila gagal ke peringkat akhir AF 2016 selepas diumumkan tersingkir.


Zarol (dua dari kiri) dan Rahila (kanan) gagal ke peringkat akhir AF 2016.

Pada malam konsert tersebut pelajar-pelajar ditugaskan untuk membuat dua persembahan iaitu secara solo dan duet bersama artis undangan.

Untuk tugasan pertama Afi membawakan lagu Sangsi Asmara nyanyian asal Hetty Sarlene, Amir (Demi Cinta), Amal (The Big Bang), Reshma (Hidup Dalam Mati), Rahila (Cheap Thrills) dan Zarol (Pesan Cinta).

Tugasan lagu duet pula Rahila membawakan lagu Senja Nan Merah bersama penyanyi Black Hanifah, Ara (Tangisan Marhaenis bersama Datuk Hattan), Zarol (Di Sebalik Rahsia Cinta bersama Indah Ruhaila), Amir (Ratusan Purnama bersama Alyah).

Manakala Amal (Memori Berkasih bersama Siti Nordiana), Afi (Dunia Batinku bersama Tam Spider), dan Reshma (Just Give Me A Reason bersama Hazama).

Juri tetap program itu ialah Datuk Ramli MS dan Datuk AC Mizal, manakala Kudsia Kahar sebagai juri undangan.

AF2016 bersiaran menerusi saluran Astro Ria (104) dan Ria HD (123) sejak 2 Ogos lalu pukul 9 malam.

Rutin harian para pelajar menjalani kehidupan di akademi melalui liputan harian Diari AF 2016 pula disiarkan pada setiap hari Isnin hingga Jumaat, pukul 9 malam.

Konsert peringkat akhir AF 2016 akan berlangsung pada Ahad depan (9 Oktober 2016) di Auditorium MBSA di sini pada pukul 9 malam.

AF2016

Artikel Lain