suria

Kebetulan Baju Sedondon, Nazrief Nazri Tidak Cintai Emma Maembong

Nazrief & Emma hadir ke majlis rumah terbuka berbaju sedondon tanpa dirancang.

PETALING JAYA: Pelakon Nazrief Nazri menegaskan dia tidak  menyimpan sebarang perasaan cinta terhadap aktres Emma Maembong ataupun berhasrat menganggu hubungan wanita itu dengan aktor Kamal Adli.

Nazrief atau nama sebenarnya Mohamad Nazrief Mohamad Nazri, 25, berkata, dia hanya mengenali rapat wanita itu sejak menjalani penggambaran dalam drama Nasi Minyak Kuah Cinta.

"Saya baru sahaja kenal Emma sejak berlakon kami berlakon bersama dalam Nasi Minyak Kuah Cinta, sebelum ini kami hanya bertegur sapa dekat majlis hiburan sahaja.

"Saya akui memang serasi berlakon dengannya, namun tidak terfikir sampai ingin bercinta atau ambil kesempatan terhadap hubungan mereka.

"Bagaimanapun saya tidak nafikan dia seorang wanita yang cantik dan mudah mesra," ujarnya kepada mStar Online.

SILA KLIK: 'Jangan Dengar Mulut Orang' - Kamal Adli Ulas Hubungan Dengan Emma Maembong Putus

Pasangan ini berlakon bersama dalam drama Nasi Minyak Kuah Cinta.

Nazrief mengulas laporan akhbar mingguan pada Ahad bahawa dia mempunyai hubungan dengan aktres berkenaan dan menimbulkan spekulasi terdapat cinta lokasi antara mereka.

Pelakon tersebut juga dilihat hadir ke majlis rumah terbuka baru-baru ini bersama-sama sambil mengayakan pakaian dengan warna sedondon.

"Sebenarnya sebelum ke rumah terbuka itu kami masih lagi menjalani penggambaran dan ke majlis tersebut secara berasingan. Emma dengan pembantu dia dan saya dengan pembantu peribadi saya.

"Sampai di majlis itu baru perasan baju kami agak sedondon dan ia secara kebetulan bukan dirancang. Jadi alang-alang kami berjalanlah sekali," ujarnya.

Tambah Nazrief, dia tidak begitu mengenali pasangan kekasih tersebut dan tidak mengikuti perkembangan mereka.

"Secara jujurnya sebelum ini saya tidak begitu tahu tentang hubungan Kamal dan Emma, jadi saya pun tidak tahu mereka sedang berantakan.

"Kalau nak cakap saya punca mereka bermasalah adalah agak mustahil kerana saya baru sangat kenal Emma," ujarnya.
Nazrief Nazri, Emma Maembong

Artikel Lain