suria

Siti Elizad Guna Wang Kemenangan Ubati Penyakit Mata Bapa

Elizad bersama bapanya Sharifuddin.

PETALING JAYA: Pelakon Siti Elizad memberitahu akan menggunakan wang kemenangan sebagai juara Gempak Superstar musim pertama untuk mengubati penyakit mata yang dihadapi ayahnya.

Elizad atau nama sebenarnya Siti Elizad Mohd. Sharifuddin, 32, berkata, dia sudah lama berusaha mengubati penyakit tersebut tapi masih tidak berhasil.

“Saya ada perancangan untuk gunakan wang tersebut bagi mengubati penyakit mata yang dideritai oleh ayah saya yang membuatkannya sukar untuk melihat.

“Sudah lama saya berusaha untuk mengubati penyakitnya itu, tetapi tidak berhasil. Saya berharap sangat ayah akan sembuh secepatnya dan mampu melihat seperti sediakala,” katanya.

Elizad bersama pemenang tempat kedua Sherry Ibrahim dan Arja Lee tempat ketiga.

Elizad diumum sebagai juara program Gempak Superstar musim pertama yang berlangsung di Studio Pinewood, Johor Baru, malam Ahad.

Kemenangan itu membolehkan Elizad membawa pulang hadiah utama berupa wang tunai berjumlah RM100,000, beserta trofi sumbangan Astro.

Dalam pada itu, Elizad berkata, dia tidak meletakkan sebarang harapan untuk menjuarai pertandingan berkenaan. 

Katanya, matlamat utama adalah untuk mengasah bakat dalam bidang lakonan.

Katanya, Gempak Superstar dilihat sebagai salah satu cara untuk dia memperbaiki kemahiran dalam lakonan.

Persembahan daripada Nazim Othman yang menduduki tempat kelima.

“Pada awalnya, saya tidak meletakkan sebarang harapan untuk menang kerana potensi saya kurang memberangsangkan berbanding rakan-rakan lain.

"Namun, saya menerima cabaran yang diberikan kerana itu merupakan satu-satunya cara untuk memperbaiki kemahiran lakonan.

“Matlamat saya hanyalah satu iaitu menjadi seorang pelakon yang matang dan berilmu,” katanya.

Pada malam final tersebut, Elizad menyanyikan dua buah lagu, iaitu Makhluk Tuhan Paling Seksi nyanyian asal Mulan Jameela dan Ketulusan Hati (Anuar Zain).

Soffi Jikan terpaksa berpuas hati dengan tempat keempat.

Sementara itu, bercakap tentang persembahannya pada malam tersebut, Elizad berkata, dia mendedikasikan lagu Ketulusan Hati kepada ibunya Nazariah Mohd. Salleh yang meninggal dunia tiga tahun lalu.

Menurut Elizad, Allahyarham ibunya merupakan individu yang bertanggungjawab memperkenalkannya kepada dunia lakonan. 

“Saya percaya, kemenangan saya ini adalah hadiah yang paling bermakna untuk ibu saya. Alhamdulillah, walaupun ibu sudah tiada, impiannya untuk melihat saya berjaya telah termakbul,” katanya.

Siti Elizad, Gempak Superstar

Artikel Lain