suria

Pengarah 'Lelaki Harapan Dunia' Optimis Hasil Filem Bercirikan Malaysia

Siew Seng Tat
KUALA LUMPUR: Pengarah filem Siew Seng Tat menganggap kemenangan filem Lelaki Harapan Dunia di Festival Filem Malaysia ke 27 (FFM 27) pada malam Sabtu lalu, memberi semangat kepadanya untuk terus menghasilkan filem-filem bercirikan Malaysia.

Seng Tat berkata, filem-filem tersebut bukan sahaja dapat membantu memberi kesedaran kepada generasi baharu, malah membawa budaya masyarakat Malaysia ke mata dunia.

"Kemenangan ini sangat-sangat memberi semangat kepada saya untuk terus memperjuangkan filem bercirikan Malaysia. Saya mahu filem-filem sebegini sedikit sebanyak memberi kesedaran kepada generasi muda.

"Seperti filem Lelaki Harapan Dunia, amalan angkat rumah menunjukkan tradisi bergotong-royong masyarakat yang semakin dilupakan oleh generasi baru," ujarnya kepada mStar Online.

Seng Tat ditemui selepas majlis anugerah Festival Filem Malaysia ke 27 (FFM 27) yang diadakan di Dewan Planery, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, Sabtu.

Filem Lelaki Harapan Dunia mendominasi empat kategori utama iaitu anugerah Filem Terbaik, Pengarah Terbaik, Cerita Asal Terbaik dan Pelakon Kanak-Kanak Terbaik.


Barisan pelakon dan kru produksi Lelaki Harapan Dunia.

Dalam pada itu, Seng Tat berkata, dia turut menjadikan Allahyarham Yasmin Ahmad sebagai sumber inspirasi dan menyambung perjuangan beliau untuk menghasilkan filem bercirikan Malaysia.

"Yasmin Ahmad antara insan yang banyak memberi inspirasi kepada saya untuk cuba sesuatu yang berbeza dan mencabar kebolehan.

"Kalau anda perasan dalam filem saya ada adegan lelaki bermata sepet itu adalah saya dedikasikan untuk dia," ujarnya.

Sementara itu, ditanya sama ada dia akan menghasilkan filem yang bakal mencetuskan kontroversi seperti yang berlaku pada Lelaki Harapan Dunia, Seng Tat berkata, dia tidak pernah memikirkan perkara itu.

Katanya, dia sendiri tidak pernah terfikir filem tersebut menjadi kontroversi oleh segelintir pihak.

"Saya tidak fikir tentang kontroversi pun dan kalau boleh saya juga tidak mahu ia menjadi kontroversi. Saya cuma fikirkan tentang budaya masyarakat di Malaysia dan melihat dari sudut positif.

"Selepas ini saya tidak berhenti dan akan terus mencari idea untuk sesuatu yang berbeza dan mencabar, saya bakal membuat satu filem dengan judul The Girl With No Head," ujarnya.

Terdahulu, ketika tayangannya pada Disember lalu, filem ini mencetuskan kontroversi apabila dikaitkan dengan sentimen bangsa Melayu dan agama Islam.

Lelaki Harapan Dunia dibintangi oleh Azhan Rani, Wan Hanafi Su dan Sofi Jikan.

Lelaki Harapan Dunia, FFM 27

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain