suria

Cara Lamaran Hairul Azreen Boleh Pesong Akidah - Ustaz Zul Hamat

Hairul Azreen melamar Hanis Zalikha dalam pentas akhir Gegar Vaganza yang disiarkan secara langsung di Astro Ria pada Ahad lalu.
PETALING JAYA: Pakar motivasi Ustaz Zulkefli Hamat, 41, berkata cara aktor Hairul Azreen melamar kekasihnya Hanis Zalikha pada Ahad lalu bertentangan dengan nilai Islam dan budaya masyarakat Melayu.

Zulkefli atau lebih dikenali sebagai Ustaz Zul Hamat berkata, cara tersebut boleh menjatuhkan maruah wanita yang dilamar itu jika perhubungan tersebut terputus di tengah jalan.

"Lamaran adalah sama maksudnya dengan meminang atau khitbah yang mana ia sepatutnya dilakukan hanya dalam keluarga sahaja bagi mengelakkan perkara buruk berlaku.

"Sekiranya hubungan tersebut putus sebelum diijabkabulkan ia akan mengaibkan dan memalukan wanita itu sendiri melainkan lamaran tersebut disusuli terus dengan majlis akad nikah," ujarnya kepada mStar Online ketika dihubungi di sini, Rabu.

Ustaz Zulkefli Hamat

Zulkefl berkata demikian apabila diminta pendapatnya mengenai trend muda-mudi ketika ini membuat lamaran terhadap pasangan masing-masing dengan cara diamalkan oleh bukan Islam.

Amalan "will you marry me" (sudikah anda mengahwini saya) sering dilakukan oleh kebanyakan artis ketika ini yang mana ia boleh menjadi ikutan kepada generasi akan datang.

Terbaharu pelakon Hairul Azreen mengejutkan peminat dunia hiburan tanah air apabila membuat kejutan melamar Hanis Zalikha dalam rancangan Gegar Vaganza siaran Astro Ria pada Ahad lalu yang mendapat kritikan orang ramai.

Kejutan untuk mengadakan lamaran dilakukan juga atas persetujuan saluran televisyen berkenaan selepas kedua-dua pihak membuat perancangan selama tiga bulan.

Sementara itu, Zulkefli turut menegur lamaran tersebut apabila Hairul melafazkan ayat will you marry me terhadap Hanis kerana ia menyerupai budaya agama lain selain perbuatan itu boleh memesongkan akidah umat Islam.

Katanya, banyak cara lain yang boleh dilakukan oleh pelakon itu bagi membuktikan rasa cinta untuk melamar kekasihnya.

"Cara melamar itu juga tidak sesuai dan dia seharusnya berhati-hati dengan perkataan will you marry me itu kerana ia menyerupai perkahwinan agama Kristian di dalam gereja.

"Kalau dalam agama Islam... seseorang itu perlu melakukan solat hajat sebelum melamar dan bukan dengan tarian seperti dalam program itu. Saya takut perkara ini akan disalah anggap oleh penganut agama lain yang beranggapan cara perkahwinan Islam sama dengan cara agama mereka," ujarnya.

Jelas Zulkefli lagi, selebriti tersebut seharusnya meminta pendapat dan nasihat daripada mana-mana ahli agama sebelum membuat tindakan yang berkaitan dengan hukum-hakam agama Islam.

Lamaran yang dilakukan Hairul Azreen adalah untuk membuktikan cintanya terhadap Hanis selain mahu berkongsi kegembiraan itu dengan peminat.

Beliau juga kesal tindakan sedemikian menjadi trend oleh selebriti tempatan yang mahu mendirikan rumah tangga.

"Saya lihat ramai selebriti yang menjadikan lamaran seperti ini sebagai trend dan masyarakat pula menganggap ia sebagai sesuatu yang baik.

"Namun begitu, ia seharusnya dilakukan dengan landasan dan cara yang betul agar menjadi contoh kepada masyarakat," ujarnya.

Walau bagaimanapun, Zulkefli berkata, daripada sudut pandangan lain, lamaran tersebut menggalakkan pasangan kekasih untuk 'membina masjid'.

Zulkefli merupakan Ketua Unit Kepimpinan, Bahagian Pendidikan Islam, Kementerian Pendidikan Malaysia.

Beliau berkelulusan Ijazah dalam bidang Usuluddin di Universiti Malaya dan Sarjana dalam bidang Sumber Manusia Dan Pembangunan di Universiti Putra Malaysia (UPM) selain sedang melanjutkan pelajaran dalam peringkat doktor falsafah (PhD).

Beliau juga hos Pencetus Ummah musim kedua siaran Astro Oasis selain mengendalikan segmen Bersama Ustaz  pada setiap Jumaat di portal mStar Online.

Artikel Lain