suria

Kos Klip Video Kumpulan Tiga Tiada Kaitan Kes Jenayah

Kumpulan tiga memberitahu modal untuk menghasilkan muzik video Pengakuan dikeluarkan oleh ketiga-tiga mereka dengan menggunakan wang simpanan peribadi.

KUALA LUMPUR: Kumpulan Tiga tidak mahu pembikinan video muzik single pertama mereka berjudul Pengakuan yang bernilai hampir RM30,000 dikaitkan dengan jenayah pecah amanah yang dilakukan bekas ahli kumpulan itu.

Seorang ahli kumpulannya, Zack Marican, 21, berkata, modal itu dikeluarkan oleh ketiga-tiga mereka dengan menggunakan wang simpanan peribadi.]

"Bajet agak tinggi mungkin kerana kualiti dan penggunaan beberapa orang artis untuk tampil dalam video muzik ini, namun bagi saya ia lebih murah berbanding harga sebenar kerana kami menggunakan khidmat kawan sendiri selain mendapat beberapa tajaan.

"Bagaimanapun, ia tidak melibatkan bekas ahli kumpulan kami yang ditangkap itu, malah kami tidak menggunakan duit dia langsung untuk menerbitkan video muzik ini," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran muzik video Pengakuan, di Red Box, Sogo, di sini, pada Selasa.

Kumpulan Tiga dianggotai oleh Zack Merican, 21, Syed Alfrizal, 26, Mohd Qhairol Iqhssan, 29, dan Maya Haryanto, 22.

Bagaimanapun, pada 29 Januari lalu salah seorang anggotanya, Mohd Qhairol Iqshssan didakwa di Mahkamah Majistret Ampang atas tuduhan pecah amanah yang melibatkan wang tunai RM235,400.

Jelas, Zack, sebelum perkara tersebut berlaku, Mohd Qhairol hampir tiga bulan tidak menghubungi mereka.

"Kejadian itu beri kesan kepada kumpulan kami terutama baru ingin bertapak dalam industri seni ini.

"Ada segelintir yang pandang serong dan berbisik-bisik bila terlihat kami dan mengetahui kami daripada kumpulan Tiga, ia sangat melukakan hati," katanya.

Dalam pada itu, Zack berkata, pengalaman tersebut turut memberi pengajaran kepada mereka agar lebih berhati-hati dalam memilih kawan.

Tambahnya, buat masa ini, mereka lebih selesa bergerak secara bertiga bersesuaian dengan nama kumpulan itu.

Sementara itu, video muzik Pengakuan yang menampilkan Nad Zainal, Arja Lee dan Sara (My Star LG) menjalani penggambaran selama tiga hari di beberapa lokasi di sekitar Lembah Klang.

Kumpulan Tiga, Jenayah, Pengakuan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain