suria

Deejay Lin Tidak Gentar Stesen Radio Lain ‘Cedok’ Suria Cinta

Deejay Lin
Deejay Lin

KUALA LUMPUR: Penyampai radio Suria FM iaitu deejay Lin tidak gentar berhadapan dengan persaingan daripada beberapa stesen radio tempatan yang cuba meniru segmen Suria Cinta yang dikendalikannya.

Lin atau nama sebenarnya Roslinda Abdul Majid, 37, menganggap ia sebagai satu cabaran untuk dia melakukan yang terbaik bagi mempertahankan kedudukannya sebagai perintis segmen bercorak cinta.

"Saya sedar ada beberapa stesen radio yang cuba untuk muncul dengan segmen yang sama seperti Suria Cinta yang ke udara pada waktu sama.

"Saya tidak takut atau gentar dengan kewujudan segmen serupa dari stesen radio lain kerana bagi saya Suria Cinta ada kekuatan dan pendengar tersendiri," katanya semasa pelancaran album Suria Cinta, di Red Box Sogo, di sini, Khamis.

Turut hadir ialah Pengurus Suria FM, Adiwati Zainuddin dan Eksekutif Pemasaran dan Promosi Life Records, Sariah Idris.

Majlis turut dimeriahkan dengan persembahan nyanyian daripada Yantzen Rusty Blade, Itam Jelmol dan Keroz Nazri.

Rancangan Suria Cinta ke udara selama empat jam bermula 10 malam dari hari Ahad hingga Jumaat.

Dalam pada itu Lin berkata, tugasannya mengendalikan segmen berbentuk romantik bukan sesuatu yang mudah untuk dilakukan oleh mana-mana deejay.

Ia perlu mempunyai jiwa yang romantik dan melakukannya seikhlas hati, bukan hanya sekadar tugasan semata-mata.

"Saya dengar juga program di radio lain, ada yang cuba memanggil pakar motivasi untuk bercakap tentang cinta.

"Pada saya ia bukan sekadar kerja sebaliknya minat dan keikhlasan mereka untuk bercakap tentang perkara tersebut tanpa ada rasa malu," katanya.

Dalam pada itu, Lin turut mengakui pernah mendapat tawaran daripada stesen radio lain bagi mengendalikan rancangan berbentuk cinta.

Bagaimanapun, dia belum bersedia meninggalkan Suria FM.

Sementara itu, Suria FM dengan kerjasama Life Records melancarkan album Suria Cinta yang memuatkan sebanyak 22 buah lagu yang dipilih mengikut permintaan tertinggi pendengar.

Lebih istimewa, album tersebut turut memuatkan suara deejay Lin sebagai selingan dengan membacakan lima warkah cinta yang dihantar oleh pendengar terpilih.

Antara lagu yang dimuatkan dalam album itu ialah Rindu Serindu-Rindunya, Khilaf, Masih Ada Rindu, Hujan Kelmarin, Ku Ukir Namamu dan Cinta Yang Terhumban.

Album Suria Cinta sudah berada di pasaran sejak Disember lalu.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain