suria

AI:IA Kembali Dengan Persembahan 'Improv, Jom?'

Barisan pelakon AI:IA.
Barisan pelakon AI:IA.
Barisan pelakon AI:IA.

PETALING JAYA: Kumpulan improvisasi komedi Malaysia, Artifically Intelligent: Improvholics Anonymous (AI:IA) bakal kembali menghangatkan pentas dengan persembahan terbaru mereka berjudul Improv, Jom? pada bulan depan.

Pengarah Artistik Playground Productions, Megat Sharizal berkata, pihaknya sudah lama meminati persembahan kumpulan itu dan akan membawa mereka menjelajah ke Pulau Pinang untuk membuat persembahan.

"Mereka terdiri daripada sekumpulan pelakon yang bersemangat tinggi dan berbakat besar. Sia-sialah jika pementasan itu nanti hanya diadakan di Kuala Lumpur sahaja.

“Kami sudah lama meminati kumpulan AI:IA dan berhasrat untuk berkongsi dengan rakyat Malaysia tentang keseronokan teater berasaskan improvisasi. Oleh sebab itu kami telah bercadang untuk membawa mereka ke Pulau Pinang," ujarnya.

Improv,Jom? akan dipentaskan di Pentas 2, Kuala Lumpur Performing Arts Centre, dari 16-20 Mei depan dan di Penang Performing Arts Centre, dari 25-27 Mei.

Harga tiket adalah RM35 untuk dewasa dan RM25 untuk pelajar. Bagi mereka yang membeli tiket sebelum 10 Mei, tiket dijual pada harga RM25.

Dalam pada itu, Megat berkata, menariknya mengenai pementasan ini, ia tidak menggunakan sebarang skrip sebaliknya mereka akan mengambil cadangan daripada penonton sebagai idea untuk persembahan itu nanti.

"Ia seperti program televisyen popular iaitu Whose Line Is It Anyway yang bergantung kepada penyertaan penonton dan akan mengetengahkan pelbagai segmen," ujarnya.

Improv,Jom? bakal menampilkan tujuh barisan pelawak iaitu Amelia Chen, Ashraf Zain, Farah Rani, Iedil Putra, Jit Yang, Malik Taufik dan Shamaine Othman selain seorang pemain keyboard, Aaron Lo.

Salah seorang ahli AI:IA, Amelia Chen berkata, kelainan pada persembahan itu nanti adalah mereka tidak akan mengulangi persembahan itu sebaliknya ia akan bertukar-tukar.

Menurut Amelia, pelbagai segmen telah diatur dan yakin ia akan dapat menarik perhatian para penonton.

Sementara itu, Megat berkata, selain mengadakan persembahan, AI:IA juga menawarkan bengkel improvisasi percuma bagi penuntut kolej dan universiti yang berminat untuk mempelajari teknik persembahan dengan betul.

Katanya, mereka boleh membuat tempahan berkumpulan sebanyak 30 orang (minima) jika berminat untuk menyertai bengkel itu.

Tarikh dan tempat bengkel akan ditetapkan mengikut jadual kedua-dua belah pihak. Untuk maklumat lanjut, sila layari www.facebook.com/aiiaimprov.

Artikel Sebelum

Artikel Lain