suria

Dilantik Presiden Baru FDAM, Hafsham Mahu Pujuk Ahli Yang Merajuk

Othman Hafsham
Othman Hafsham
Othman Hafsham

PETALING JAYA: Pengarah filem veteran, Othman Hafsham yang dilantik sebagai Presiden baru Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) pada Sabtu, enggan mencanangkan objektif tertentu kerana ingin memulihkan semula konflik dalaman persatuan itu terlebih dahulu.

Hafsham, 72, berkata keutamaanya kini adalah mengukuhkan semula aspek pentadbiran dan kewangan persatuan, selain memujuk semula beberapa ahli yang merajuk dan marah ekoran ketegangan yang tercetus sebelum ini.

“Saya tidak mahu memberikan sebarang misi atau objektif pada masa ini. Masih terlalu banyak perkara yang perlu diperhalusi dan diperbaiki.

“Tidak guna kalau saya laungkan itu dan ini tetapi apa pun tidak dapat dicapai kerana kecelaruan yang sedia ada dalam persatuan.

“Saya mahu ajak semula ahli-ahli yang sudah merajuk, marah dan hilang kepercayaan pada persatuan sebelum ini untuk duduk bersama dan selesaikan kekusutan ini dahulu,” katanya ketika dihubungi mStar Online, Sabtu.

Hafsham memenangi jawatan itu tanpa bertanding pada Mesyuarat Agung yang dihadiri kira-kira 35 ahli persatuan pada pagi Sabtu di Institut Penyiaran Tun Abdul Razak (IPTAR), Kuala Lumpur.

Mengulas mengenai pelantikannya itu, Hafsham berkata dia kurang pasti mengenai alasan dan sebab di sebalik ketiadaan pesaing lain bagi merebut jawatan keramat tersebut.

“Saya tidak pasti mengapa atau apa agenda di sebalik ketiadaan pesaing-pesaing lain bagi merebut jawatan Presiden pada kali ini.

“Adakah ia satu permainan politik persatuan atau tiada pihak yang berminat, saya pun tidak tahu kerana saya memang tidak terlibat dalam konflik dalaman yang timbul sebelum ini.

“Pelantikan ini sah mengikut perlembagaan persatuan dan ia bukan mengenai soal jawatan atau kuasa. Saya mempunyai tanggungjawab untuk memberikan manfaat kepada industri perfileman semula,” katanya.

Pada mesyuarat berkenaan, Abdul Rahim Awang dilantik sebagai Timbalan Presiden manakala Bendahari pula berpihak kepada Loganathan.

Tidak seperti kebiasaannya, mStar Online difahamkan, mesyuarat pada kali ini berlangsung dalam keadaan yang baik dan damai tanpa sebarang perbalahan walaupun kurang mendapat sambutan daripada ahli persatuan sendiri.

Artikel Lain