suria

Nazim Belum Terdesak Berlakon Filem

Nazim Othman dan Jazzy Rashid dalam drama Siapa Jem?. - Foto HASRUL HASHIM
Nazim Othman dan Jazzy Rashid dalam drama Siapa Jem?. - Foto HASRUL HASHIM
Nazim Othman dan Jazzy Rashid dalam drama Siapa Jem?. - Foto HASRUL HASHIM

KUALA LUMPUR: Biarpun rezeki dalam bidang lakonan semakin bertambah, pelakon Nazim Othman, 27, belum terdesak untuk muncul di layar lebar.

Bagi pelakon yang semakin dikenali selepas muncul dalam drama Begitukah Cinta ini, dia mahu memastikan dirinya betul-betul stabil dan berjaya sebagai pelakon drama terlebih dahulu sebelum terjun ke dunia perfileman.

“Saya ada menerima tawaran berlakon filem tetapi watak dan jalan cerita filem tersebut agak longgar.

“Saya tidak kisah sekiranya ditawarkan watak pembantu asalkan watak itu mempunyai karakter untuk membantu perjalanan cerita dan mampu dibawakan oleh saya,” katanya ketika ditemui di Restoran Muhibbah, Sungai Penchala, di sini, Rabu lalu.

Nazim akui sejak memegang watak utama dalam drama Begitukah Cinta, namanya semakin melonjak naik dan tawaran berlakon tidak pernah putus.

“Alhamdulillah, bermula Oktober tahun lalu sehingga sekarang, rezeki saya tidak pernah putus. Selepas selesai sebuah drama, drama lain pula yang menyusul.

“Malah saya terpaksa menolak beberapa tawaran lain disebabkan pertembungan jadual kerja. Saya juga semakin mendapat kepercayaan penerbit dan pengarah,” ujarnya yang pernah bergelar seorang pramugara MAS pada tahun 2003 hingga 2008.

Menyentuh tentang drama terbarunya, pemuda berasal dari Skudai, Johor ini sedang sibuk dengan penggambaran drama Siapa Jem? yang bakal disiarkan di Astro Ria (saluran 104) pada setiap Isnin, bermula 6 Jun depan.

Untuk episod pertama, drama 13 episod ini akan ditayangkan pada pukul 9.30 malam manakala untuk episod yang seterusnya akan bermula pada jam 9 malam.

Drama arahan Samby Dinesh ini turut dilakonkan oleh Jazzy Rashid, Miera Liyana, Siti Elizad Saifuddin, Sherry Abdullah, Mazlan Mokhtar, Qazim Nor, Datin Noniswara Baharudin dan Radhi Khalid.

Dia melakonkan watak Amerizal iaitu seorang wartawan muda yang sedang mengintip sepasang selebriti yang dikatakan mempunyai skandal. Amerizal bertembung dengan Jem (Jazzy) sehingga menyebabkan tugasnya terbengkalai.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain