suria

Seni Teater Dalam Diri Grace Ng

Grace Ng mendapat inspirasi dan keberanian untuk membaca berita dan mengacarakan sesebuah rancangan melalui pengalaman-pengalaman berteater. - Foto DARRAN TAN
Grace Ng mendapat inspirasi dan keberanian untuk membaca berita dan mengacarakan sesebuah rancangan melalui pengalaman-pengalaman berteater. - Foto DARRAN TAN
Grace Ng mendapat inspirasi dan keberanian untuk membaca berita dan mengacarakan sesebuah rancangan melalui pengalaman-pengalaman berteater. - Foto DARRAN TAN

BIARPUN lebih dilihat sebagai personaliti televisyen apabila sering muncul sebagai pembaca berita ntv7, pemilik nama Grace Ng Fei Fen, 25, sebenarnya merupakan seorang penggiat teater.

Dia yang pernah menuntut di Monash University, Australia dalam bidang Komunikasi ini juga aktif sebagai penggiat teater di universiti tersebut.

Malah Ng mengakui, pendedahan awal ke bidang penyiaran ini juga bermula daripada pengalamannya terlibat dalam teater ketika di peringkat sekolah dan universiti.

“Saya mula mendapat pendedahan ketika di sekolah tadika ketika itu saya sering memasuki persembahan lakonan dan yang paling tidak dilupakan ialah dapat membuat persembahan di hadapan Menteri Pelajaran yang ketika itu disandang oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Dari situ saya mula mengembangkan bakat dengan berteater di peringkat sekolah menengah dan memanjangkannya apabila memasuki universiti.

“Kemudian, saya meneruskan minat ini dengan mengambil bidang yang seiring dengan seni persembahan teater,” katanya.

Menurut wanita berasal dari Melaka ini, dia mendapat inspirasi dan keberanian untuk membaca berita dan mengacarakan sesebuah rancangan melalui pengalaman-pengalaman berteater.

“Bukan senang untuk berhadapan dengan kamera, tapi saya bernasib baik kerana mempunyai pengalaman untuk berhadapan di khalayak.

“Tapi saya juga akui ia dua perkara yang berbeza dan kepuasannya juga tidak sama,” katanya.

Ng memulakan kerjaya di ntv7 pada awal ini dan pernah terlibat dalam beberapa pementasan teater Inggeris seperti Hip-Hopera, KLPAC’s A Christmas Carol, Masakini’s 24-hr Theatre, KLPAC’s Short dan Sweet Age Defying Tricks For Women.

Biarpun belum banyak pengalaman dalam bidang tersebut, Ng turut mempunyai pandangan tersendiri tentang perkembangan teater tanah air.

Dia melihat perkembangan dunia teater semakin maju dan masyarakat kini sudah semakin menerima teater sebagai salah satu medium hiburan.

Selain itu, dia juga menganggap perkembangan industri teater juga dapat dilihat dari segi penyatuan teater berbahasa Inggeris, Cina, Melayu dan India.

“Pada pendapat saya, teater semakin berkembang dan diterima masyarakat. Kalau dulu ia hanya diminati oleh segelintir masyarakat sahaja, namun hari ini semua orang sudah mula menonton teater.

“Selain itu, kalau dahulu terdapat pengasingan antara teater berbahasa Inggeris, Cina, dan Melayu tapi hari ini ia dapat digabungkan menjadi sebuah teater yang boleh menjadi tontonan semua bangsa dan masyarakat,” katanya.

Dia yang sangat mengagumi pementasan teater Puteri Gunung Ledang, turut menganggap teater Malaysia sudah setanding dengan teater luar negara.

“Sejak menceburkan diri dalam bidang penyiaran televisyen, saya mengurangkan penglibatan saya dalam teater bagi menumpukan sepenuhnya kepada bidang ini.

“Dalam perancangan kemungkinan tahun ini saya akan memulakan kembali untuk berlakon teater, kerana sayang jika saya terus berhenti,” katanya.

Bercerita tentang bidang penyiaran. Ng percaya masa depannya masih jauh dalam mewarnai lagi bidang tersebut.

Dia yang memegang tanggungjawab sebagai penolong penerbit 7 Edition, turut mengacarakan rancangan bual bicara berjudul Cube bersama rakan pengacaranya Adrian Jalaludin pada setiap Khamis, pukul 8.30 malam.

“Saya sukakan cabaran dalam setiap apa yang saya lakukan. Saya mahu apa juga bidang yang saya ceburi memberi kepuasan secara maksimum kepada saya.

“Selain itu, saya beruntung kerana mendapat sokongan padu daripada keluarga biarpun tiada seorangpun ahli keluarga yang menceburkan diri dalam bidang ini,” ujarnya.

Selain bidang teater dan penyiaran, Ng juga terlibat dalam sebuah filem indie terbitan Perantauan Pictures berjudul The Joshua Tapes yang membariskan pelakon seperti Baki Zainal, Phoon Chi Ho dan Matthew Ho Tien Li.

Filem yang menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa perantaranya itu dijangka menjengah pawagam pada 30 September depan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain