suria

Hara Pemenang Peraduan 'Waktu Rehat... Aksi'

Hara dan pelakon-pelakon waktu rehat
Hara dan pelakon-pelakon waktu rehat
Hara dan pelakon-pelakon waktu rehat

PETALING JAYA: Disney Channel mengumumkan Pelajar SK ST Mary, Siti Hara Rashid atau lebih dikenali sebagai Hara, 12, sebagai pemenang peraduan Waktu Rehat… Aksi yang telah diadakan di seluruh Malaysia baru-baru ini.

Peraduan tersebut bertujuan mencari seorang pelajar yang paling sesuai untuk memegang watak dalam salah satu episod musim kedua siri tersebut.

Menurut Pengarah Pemasaran dan Kreatif, Disney Channels Asia Tenggara, Jennifer Ng, Disney Channel berhasrat mencungkil dan melatih bakat-bakat tempatan dengan penganjuran peraduan seperti Waktu Rehat... Aksi! ini.

“Kami berhasrat untuk memberi bakat muda ini pengalaman berlakon dan peluang berkawan dengan pelakon sebenar dalam siri Malaysia pertama kami iaitu Waktu Rehat. Ia memang peluang keemasan bagi pemenang” katanya.

Tambah Jennifer, para juri telah bertungkus lumus dalam pemilihan pemenang kerana kesukaran menilai lebih 600 video yang bertanding.

15 peserta akhir dipilih untuk menghadiri uji bakat secara langsung yang diadakan di sekolah mereka dengan penampilan khas pelakon Waktu Rehat.

“Setelah lawatan kami ke 15 sekolah peserta pusingan akhir dan menilai semua klip video, penerbit dan pelakon Waktu Rehat telah memilih calon terbaik yang memenuhi semua kriteria penilaian kami,” katanya lagi.

“Hara terpilih kerana dia telah menunjukkan bakat semulajadi semasa proses uji bakat dan kami berpendapat dia berpotensi besar dalam bidang lakonan.

"Selain itu, Hara dengan perwatakannya yang periang pasti mudah disenangi penonton Waktu Rehat di Malaysia,” tambah Jennifer.

Sementara itu, Hara mengakui tidak pernah ketinggalan menonton drama Waktu Rehat setiap hujung minggu.

Meskipun berasa gementar, dia memberanikan diri untuk berlakon dan menyukai pengalaman tersebut.

“Para pelakon Waktu Rehat semuanya peramah dan saling membantu. Salah seorang dari mereka memberi petua untuk menghilangkan rasa gementar dengan makan coklat dan saya mendapati ia memang berkesan,” katanya.

Hara akan membintangi satu episod Waktu Rehat yang ditayangkan di Disney Channel (Astro Saluran 615) pada bulan Mac ini.

Jangan ketinggalan untuk menonton musim terbaru Waktu Rehat pada 12 tengahari setiap Sabtu dan Ahad di Disney Channel.

Waktu Rehat adalah siri komedi sekolah yang menampilkan gelagat para pelajar ketika waktu rehat di mana mereka bersembang dan bertemu kawan-kawan.

Artikel Sebelum

Artikel Lain