suria

'Hero Malaya' Kutip RM60 Ribu Bantu Bob (Kuman)

KUALA LUMPUR: Misi Hero Malaya yang disertai kira-kira 20 artis lelaki tanah air tercapai apabila berjaya menerima sumbangan sebanyak RM60,000 dari pasar raya Carrefour selepas melakukan aktiviti amal di pasar raya tersebut.

Kutipan tersebut bakal diserahkan kepada pelakon Bob (Kuman) atau nama sebenar Husni Rawi, 39, untuk membeli mesin oksigen dan melakukan pembedahan pintasan perut (gastric bypass).

Bob memerlukan peralatan itu akibat berat badan yang berlebihan iairu 219 kilogram sehingga menyukarkan pernafasan selain mengakibatkan komplikasi buah pinggang.

Menurut pengacara Aznil Nawawi, sumbangan yang dilakukan kumpulan yang digelar Hero Malaya itu sedikit sebanyak membantu rakan artis yang memerlukan sumbangan.

“Idea untuk mengumpul sumbangan ini pada awalnya selepas terbaca rangkaian sosial Twitter Bob yang meluahkan rintihan terhadap sakit yang dihadapinya.

“Kami yang berhubung melalui laman sembang maya Blackberry Massenger (BBM) ini akhirnya mengambil keputusan untuk membantunya sedaya yang termampu,” ujarnya.

Dalam pada itu, aktiviti yang berlangsung pukul 3 petang sehingga 6 petang Jumaat itu mendapat sambutan lebih 500 pengunjung.

Seramai 20 Hero Malaya yang terdiri dari pelakon, penyanyi dan pengacara melakukan pelbagai aktiviti amal yang menggantikan tugas pekerja pasar raya tersebut.

Antara selebriti yang terlibat ialah Fazley Yaakob, Zahid AF2, Iqram Dinzly, Erry Putra, Farish Aziz, Adi Fashla, Alif Satar, Altimet, DJ NasT, Fizo Omar, Imran Ajmain, Cat Farish, Maulana, Riz Ainuddin, Zizan Raja Lawak, Shaheizy Sam, Kamal Adli, Zahiril Adzim, Zoey Rahman dan Syafie Naswip.

Sementara itu, Bob (Kuman) yang ditemui menzahirkan rasa terharunya apabila mendapat kejutan daripada kumpulan Hero Malaya tersebut.

Katanya, luahan hati yang dianggap sekadar gurauan itu mendapat perhatian dari rakan artis yang lain.

“Saya tidak menyangka luahan hati saya di Twitter itu mendapat perhatian mereka. Memang saya ada berseloroh dengan meminta agar diberikan wang sejumlah itu kerana ingin membeli beberapa mesin oksigen dan melakukan pembedahan pintasan perut.

“Saya pada mulanya dijemput untuk membuat persembahan untuk hari ini (Jumaat), tak tahu menahu tentang kejutan ini,” katanya dengan nada terharu.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain