suria

Cabaran Bob Ubah Shaheizy Sam Dalam 'Ngangkung'

Pengarah filem Ngangkung, Ismail Bob Hasim.
Pengarah filem Ngangkung, Ismail Bob Hasim.
Pengarah filem Ngangkung, Ismail Bob Hasim.

PETALING JAYA: Pengarah filem Ngangkung, Ismail Bob Hasim yang pertama kali diberi peluang sebagai pengarah oleh Metrowealth Pictures mengakui berdepan cabaran yang besar untuk menggarap watak pelakon utamanya, Shaheizy Sam.

Dia mahu Shaheizy Sam tampil berbeza daripada wataknya dalam filem Adnan Semp-it.

Menurut pengarah yang mesra disapa Bob itu, imej dan identiti watak Adnan lakonan Sam dalam filem arahan Ahmad Idham itu telah meninggalkan impak yang besar kepada penonton.

Ini sekaligus memberikan cabaran buatnya untuk memastikan agar karakter komedi Sam dalam filem Ngangkung pula tampil dalam bentuk yang lebih segar dan berlainan.

"Saya tidak nafikan badi watak Adnan lakonan Sam dalam filem Adnan Semp-it memang kuat melekat pada minda penonton.

"Sebagai pengarah yang juga tampil dengan filem komedi, saya menggalas cabaran besar untuk menggarap elemen segar dan kelainan pada watak Sam dalam filem sulung saya ini.

"Saya tidak mahu jika penonton nampak 'jelmaan' watak Adnan dalam diri Sam.

"Saya cuba sedaya upaya menyuntik kelainan pada watak Azim lakonan Sam agar ia berbeza dan tersendiri. Mujurlah Sam sendiri adalah seorang pelakon yang berkaliber serta banyak memberikan idea dan penterjemahannya sendiri pada watak tersebut.

"Saya harap ia berkesan dan penonton akan nampak sisi komedi yang berbeza pada lakonan Sam kali ini," katanya yang ditemui selepas sesi pratonton filem itu di Cathay e@curve, Damansara, Isnin.

Ujarnya, bagi memberikan impak yang berbeza pada watak dan perjalanan filem itu, kebanyakan dialog dan babak komedi dalam Ngangkung turut dipinda dan diperkemas secara spontan ketika berada di lokasi penggambaran.

"Apabila berada di lokasi, saya dan pelakon-pelakon banyak berbincang untuk memberikan lebih impak pada skrip asal. Bukan ia tidak bagus cuma apabila kami berbincang sebelum memulakan sesebuah babak, banyak pandangan dan idea lebih menarik dan lucu boleh dimasukkan dalam babak atau dialog tertentu.

"Jadi, kebanyakan babak dan dialog komedi dalam filem ini dipinda sewaktu penggambaran dijalankan.

"Berdasarkan respons penonton pada sesi pra-tonton, ia nampaknya memikat, lucu dan berkesan. Jadi, apa yang kami lakukan itu ternyata berhasil. Saya harap penonton akan terhibur dan dapat mesej yang diterapkan dalam filem ini apabila ia ditayangkan nanti," katanya.

Sebelum mengarahkan Ngangkung, Bob yang berpengalaman dalam bidang penerbitan drama televisyen selama 16 tahun pernah menjadi Penolong Pengarah 1 dalam filem-filem arahan Ahmad Idham.

Antara drama-drama bersiri yang mendapat sentuhan Bob termasuk Jangan Tegur, Adnan Semp-it dan Jangan Pandang Belakang Congkak.

Filem ke-42 terbitan Metrowealth Pictures itu berkisar kepada cerita tiga sahabat iaitu Azim, Tasnim dan Wan yang merupakan kaki judi dan suka membeli nombor ekor untuk mengubah nasib kehidupan masing-masing.

Dek ketaksuban terhadap nombor ekor, mereka sanggup melakukan pelbagai cara demi untuk mendapatkan nombor ekor yang paling tepat termasuklah melakukan perbuatan mengangkung pada pendita.

Namun, nombor bertuah yang diharapkan itu tidak muncul tetapi telah mengubah segala-galanya sehingga memporak-peranda kehidupan mereka dan keluarga masing-masing.

Filem yang turut dibintangi oleh Azad Jasmin, Angah Raja Lawak, Putri Mardiana, Eira Syazira, Farisya Fatin, Mazlan Ahmad dan ramai lagi ini bakal menjengah pawagam pada 25 November ini.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain