suria

Zed Zaidi Seru Artis Sambung Belajar

PETALING JAYA: Para artis dan selebriti diseru menyambung pengajian peringkat ijazah yang ditawarkan di Universiti Utara Malaysia (UUM) untuk pengambilan kedua yang akan bermula pada Disember ini.

Exco Seniman Muda, Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Zed Zaidi,27, (gambar) berkata, para artis harus merebut peluang itu yang jarang sekali diadakan buat mereka.

“Kami telah mengadakan kerjasama dengan UUM untuk membolehkan para artis dan selebriti di negara kita mempunyai ilmu pengetahuan dalam bidang pendidikan,” katanya.

Kursus yang ditawarkan UUM ialah dua pengajian ijazah sarjana muda dalam bidang komunikasi dan pengurusan perniagaan.

Sebagai contoh katanya jika para artis mempunyai tahap komunikasi yang tinggi, mereka tiada masalah untuk berhadapan dengan orang ramai termasuklah wartawan

“Kami telah membina kerjasama dengan UUM untuk menggalakkan ramai artis mengikuti ijazah dalam bidang komunikasi. Sekurang-kurangnya, apabila mereka belajar tentang komunikasi, tiadalah timbul isu artis tidak tahu adab apabila bercakap dengan wartawan,” katanya kepada mStar Online.

Sebelum ini, pelakon Emelda Rosmila, Diddy Hirdy, Akim AF dan vokalis kumpulan Hujan, Mohammad Noh Salleh, merupakan antara 38 penggiat seni yang melanjutkan pelajaran di universiti itu untuk kampus Kuala Lumpur.

Turut mengikuti kurus berkenaan ialah personaliti Astro Awani, Ashwad Ismail yang terlibat dalam misi kemanusiaan ke Gaza, Palestin Mei lepas serta pembaca berita Rizal Zulkapli.

Mereka ditawar mengikuti Program Khas Pengajian Luar Kampus (PLK) bagi kursus Sarjana Muda Komunikasi dengan Kepujian (PLK) dan Sarjana Muda Pengurusan Hal Ehwal Antarabangsa dengan Kepujian (Mode Eksekutif) dan telah memulakan pengajian pada Ogos lalu.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain