suria

Aswara Perkenal Kursus Filem Dan Video Untuk Penggiat Seni

KUALA LUMPUR: Fakulti Filem dan Video Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) akan menawarkan kursus jangka pendek bagi karyawan dan penggiat seni tempatan pada semester barunya yang bermula akhir bulan ini.

Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Joseph Salang Gandum berkata kursus itu yang akan menekankan aspek praktikal dibuka kepada golongan tersebut dengan syarat mereka memiliki sekurang-kurangnya sijil Penilaian Menengah Rendah.

"Kursus bertaraf sijil itu akan diadakan pada setiap hujung minggu untuk tempoh 14 minggu," katanya menjawab soalan Senator Tan Sri Jins Shamsudin di Dewan Negara, di sini hari ini.

Salang berkata kursus itu diharap dapat merealisasikan hasrat kerajaan untuk meningkatkan kualiti pendidikan rakyat Malaysia melalui konsep pendidikan sepanjang hayat.

Menyentuh mengenai Akademi Filem Malaysia (AFM), Salang berkata kerajaan tidak bercadang untuk membuka semula akademi itu kerana penubuhan Fakulti Filem dan Video di Aswara merupakan kesinambungan kepada akademi tersebut yang dibubarkan pada 2005.

Malah Fakulti Filem dan Video telah berfungsi dengan lebih baik daripada AFM, berikutan kejayaan pelajar dan graduannya di Festival Filem Malaysia (FFM) dan Festival Filem dan Video Pelajar Malaysia (FFVPM), katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain