suria

Sheila Rusly Boleh Teruskan Perniagaan

KUALA LUMPUR: Pelakon dan pengacara Sheila Rusly (gambar) masih boleh meneruskan perniagaan Restoran Nasi Dagang House pada Oktober 2005 apabila giliran beliau untuk menguruskan restoran itu, kata rakan kongsinya di Mahkamah Tinggi, Khamis.

Ahli perniagaan Datuk Azlina Che Abdullah berkata dakwaan Sheila bahawa beliau telah memindahkan sebahagian peralatan memasak adalah tidak benar.

"Saya hanya mengambil barang peribadi milik saya iaitu sehelai kain samping yang dijadikan hiasan dinding, sebuah bubu buluh hiasan, sebiji tudung saji hiasan, sebuah televisyen yang dihadiahkan oleh kawan saya, sebiji periuk besar dan satu periuk memasak nasi," katanya.

Azlina, 43, memberitahu demikian dalam perbicaraan kes saman Sheila, 39, terhadap Azlina yang menuntut semula modal sebanyak RM55,000 yang dilaburkan dalam restoran itu.

Ketika pemeriksaan balas oleh peguamnya, Mohd Firuz Jaffril bahawa adalah mustahil Sheila dapat meneruskan operasi di restoran itu kerana beberapa pekerja turut meninggalkan Restoran Nasi Dagang House, Azlina berkata masih ramai yang bekerja di situ.

"Seingat saya hanya tiga dan empat orang sahaja yang meninggalkan Restoran Nasi Dagang House daripada belasan pekerja (yang ada) dan mereka yang meninggalkan restoran itu merupakan saudara kepada suami saya," katanya.

Azlina berkata walaupun tukang masak di restoran itu berhenti, ia tidak akan menjejaskan operasi restoran berkenaan memandangkan Sheila sudah mempunyai tukang masak baru.

Beliau berkata perniagaan itu tidak akan terjejas walaupun resepi Sheila bukan resipi utama restoran itu kerana pengacara itu boleh memasak.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Lim Yee Lan bersambung esok. Pada 21 Jan 2006, Sheila menfailkan saman terhadap Azlina atas dakwaan gagal mematuhi terma-terma kontrak antara mereka dan menuntut semula modal sebanyak RM55,000 yang dimasukkannya ke dalam perniagaan perkongsian itu. - Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Lain