suria

Aron Koh Arah Filem Pertama Malaysia-China

Filem terbaru Aron Koh, Xiao Wei bakal melibatkan kerjasama antara Malaysia dan China. - Foto oleh AZLINA ABDULLAH
Filem terbaru Aron Koh, Xiao Wei bakal melibatkan kerjasama antara Malaysia dan China. - Foto oleh AZLINA ABDULLAH
Filem terbaru Aron Koh, Xiao Wei bakal melibatkan kerjasama antara Malaysia dan China. - Foto oleh AZLINA ABDULLAH

SEBUT nama Aron Koh, mesti tidak ramai yang mengenali penerbit dan pengarah filem muda ini. Namun namanya mula dikenali setelah menonton filem cereka seram pertamanya, Seed of Darkness pada tahun 2005.

Selain itu, Aron juga pernah menghasilkan 10 filem pendek seperti Love at First Sight dan Self serta meraih beberapa anugerah yang dipertandingkan.

Pada 2008, dia menerbitkan telefilem Melayu pertama berjudul KURUS yang ditayangkan di Festival Filem Antarabangsa Hong Kong dan tercalon di Festival Filem Antarabangsa Taipei, Festival Filem Antarabangsa Brisbane dan banyak lagi.

Semasa Festival Filem Antarabangsa Bangkok, Aron berjaya merangkul Anugerah Khas Juri menerusi filem KURUS.

Walaupun telah lama mencuba nasib dalam industri perfileman tempatan, Aron tidak pernah serik untuk mencuba pelbagai genre termasuk seram dan romantik.

Terbaru, dia mempertaruhkan filem cinta yang merupakan filem pertama melibatkan kerjasama antara Malaysia dan China berjudul Xiao Wei.

Lihatnya filem ini lebih menjurus kepada kaum Cina dan mungkin sukar untuk menarik perhatian penonton Melayu.

Namun begitu, Aron yakin filem ini mempunyai citarasa cinta unik yang mampu menarik semua orang tanpa mengira kaum untuk datang ke pawagam.

"Filem ini mengisarkan tentang cinta sebenar tanpa mengira bangsa dan negara. Semua orang yang sedang bercinta pasti menyukai filem ini.

"Ia menceritakan tentang seorang perempuan dari China bernama Xiao Wei jatuh cinta dengan lelaki dari Malaysia bernama Adi semasa dia berkunjung ke Malaysia pada cuti semester pengajiannya.

"Bagaimanapun, dia terpaksa meninggalkan Adi tanpa sebab. Adi tekad berjumpa dengan Xiao Wei di China walaupun dia menjadi seorang penyanyi terkenal beberapa tahun selepas itu," katanya kepada mStar Online dalam satu temubual baru-baru ini.

Ditanya mengapa memilih untuk bekerjasama dengan China, alasan Aron kerana pasaran filem di sana merupakan yang terbesar dan berada di tangga pertama berbanding negara lain.

"Bayangkan, populasi di China dianggarkan dalam 1.3 bilion. Sebab itu kita yakin dengan kerjasama ini. Kita akan menjalani penggambaran di negara ini dan China seperti di Beijing, Hainan, Batu Pahat, Johor dan Kuala Lumpur pada awal tahun depan.

"Selain saya, filem ini juga mungkin akan diarahkan oleh seorang lagi pengarah dari China," ujarnya.

Mengenai barisan pelakon, filem tersebut telah menemui heronya iaitu Adi, pelakon dan penyanyi Cina dari Malaysia.

Bagi heroinnya, Aron akan menganjurkan sebuah program realiti untuk mencari Xiao Wei melalui online bermula September atau Oktober depan.

"Saya akan membuat sebuah tv show secara online di dua buah negara iaitu Malaysia dan China.," beritahunya yang turut akan tampil dengan sebuah projek filem lagi.

Filem keduanya itu bertajuk Annette... Putiknya Cinta Tatkala Merdeka. Filem tersebut dijangka dibuat mulai pertengahan tahun depan.

Pada mulanya, Aron memilih tajuk 1957: Semarak Hati 1Malaysia. Namun, dia memilih untuk menukar tajuk tersebut kerana bimbang jika disamakan dengan filem 1957:Hati Malaya.

"Filem Annette...Putiknya Cinta Tatkala Merdeka mengisahkan tentang cinta seorang wanita British kepada pemuda Malaysia.

"Selain cinta, kita juga memaparkan tentang semangat merdeka dan rasa hormat antara satu sama lain," tutur pemuda berasal dari Johor Baru itu.

Dalam menghasilkan filem tersebut, dia memikirkan tentang konsep 1Malaysia yang menghimpunkan pelakon berbilang kaum.

"Saya rasa karya Yasmin Ahmad juga boleh dijadikan sebagai contoh terbaik. Kalau boleh saya nak menghasilkan karya terbaik sepertinya agar filem ini menonjolkan 'truly Malaysian'," akhirinya.

Dalam perkembangan lain, Aron juga terlibat dengan projek menghasilkan filem pendek untuk kempen anti merokok atau ASAP.

"Filem pendek berdurasi 10 minit itu akan menyampaikan mesej tentang bagaimana merokok boleh membawa kepada kehancuran rumah tangga," katanya mengenai filem pendek yang akan dilakonkan oleh Iz OIAM itu.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain