suria

Ahli Fiqir teruskan perjuangan tanpa tukang kata

Ahli Fiqir ketika mengeluarkan album 'Rap Untuk Rakyat' pada 2007. (Dari kiri) Daly, Dayat, Samsol dan DJ Cza.-foto THE STAR oleh ABDUL RAHMAN SENIN
Ahli Fiqir ketika mengeluarkan album 'Rap Untuk Rakyat' pada 2007. (Dari kiri) Daly, Dayat, Samsol dan DJ Cza.-foto THE STAR oleh ABDUL RAHMAN SENIN
Ahli Fiqir ketika mengeluarkan album 'Rap Untuk Rakyat' pada 2007. (Dari kiri) Daly, Dayat, Samsol dan DJ Cza.-foto THE STAR oleh ABDUL RAHMAN SENIN

SEJAK menerjah ke persada muzik tanahair mulai tahun 2005, kumpulan Ahli Fiqir yang mulai popular menerusi lagu Samseng dan Angguk-Angguk Geleng-Geleng terus mengukuhkan tapak mereka di dalam dunia muzik.

Muncul dengan album sulung mereka 'Hari Ini Dalam Sejarah' pada tahun 2005 dan album kedua 'Rap Untuk Rakyat' pada tahun 2007, Ahli Fiqir terus membawa identiti Rap Nusantara ke aras yang lebih tinggi dan mendapat maklumbalas dan sokongan positif dari media, pengkritik dan peminat-peminat.

Kini, selepas hampir dua tahun, Ahli Fiqir kembali dengan album ketiga 'Irama Berimah' yang menampilkan empat lagu ciptaan baru dan single pertama ialah 'Fiqir Fiqir' yang dipetik dari lagu 'Dikir Fikir' yang pernah dipopularkan oleh Art Fazil suatu ketika dulu.

Bertempat di Hard Rock Cafe, Ahli Fiqir telah mengadakan sidang media dan pelancaran album terbaru mereka ini, semalam.

Kumpulan ini yang dianggotai seramai empat orang ahli iaitu Fadali Mohd Darif atau Daly, Samsolnahar Sibengat atau Samsol (tukang kata), Noor Hidayati Mohamed Yusop atau Dayat (Mawar Berduri) dan Ceza Mutyara atau dj cza sempat mengadakan persembahan dengan menyampaikan kelima-lima lagu yang dimuatkan dalam album terbaru mereka ini.

Namun seperti ada kekurangan pada kumpulan ini. Pada hari tersebut hanya tiga orang dari ahli ini sahaja yang tampil membuat persembahan manakala ketiadaan Samsol (tukang kata) menjadi tanda tanya.

Daly yang ditanya mengenai ketiadaan Samsol mengatakan Samsol tidak dapat meneruskan usahanya untuk album kali ini kerana ada masalah peribadi dan terpaksa pulang ke Singapura.

"Samsol tak dapat nak terus bersama kami untuk album kali ini kerana dia ada masalah peribadi dan perlu segera pulang ke Singapura, tetapi dia masih lagi memiliki kontrak setahun bersama Warner Music.

"Tiada siapa akan gantikan tempat Samsol dan dia juga tidak akan diberhentikan selagi tidak tamat kontrak.

"Dia cuma direhatkan oleh pihak Warner Music dan setelah masalah dia selesai dia akan bersama kami semula," kata Daly.

Daly juga mengatakan ketiadaan Samsol tidak memberi sebarang kejanggalan buat Ahli Fiqir kerana sudah biasa dengan membuat persembahan tanpa ahli kumpulan yang cukup.

"Saya tak rasa itu satu masalah buat Ahli Fiqir dan kami tidak rasa janggal. Masa mula-mula Ahli Fiqir ditubuhkan pun saya dah biasa buat persembahan tanpa Samsol dan begitu juga ahli yang lain.

"Jadi perkara ini bukan satu masalah untuk Ahli Fiqir meneruskan perjuangan dalam dunia muzik.

"Tapi kami berharap agar Samsol dapat selesaikan masalahnya dengan cepat dan kembali semula bersama kami dalam Ahli Fiqir," katanya.

Ditanya mengapa album kali ini terdapat sedikit perubahan pada lagu dan muzik mereka, Dj Cza mengatakan perubahan yang dilakukan adalah untuk memperkenalkan elemen baru dan juga mengikut citarasa pendengar masa kini.

"Perubahan juga satu perkara yang baik dan dalam album ini pendengar dapat mendengar kepelbagaian suara dari Ahli Fiqir dalam lagu yang rancak dan juga lagu berentak perlahan.

"Kami juga mengikut pada citarasa pendengar yang sentiasa berubah, jadi kami pun kena berubah.

"Kami juga mensasarkan hanya lima lagu dalam album kali ini dan setiap lagu itu adalah single pada kami.

"Kalau buat banyak-banyak lagupun belum tentu semuanya orang dengar dan semua akan digunakan. Jadi kami hanya keluarkan lima lagu saja," katanya yang turut menambah sekarang merupakan musim single, bukan lagi album.

Bagaimanapun Ahli Fiqir tidak mensasarkan sebarang pencapaian pada album ini sebaliknya berharap mendapat pulangan dari pembelian nada dering, siaran di radio dan juga persembahan pentas.

Album terbaru Ahli Fiqir ini memuatkan lagu-lagu ciptaan mereka sendiri seperti 'Biarkan', 'Derita Merindu', 'Janganlah Pergi Mawar', 'Fantasi' yang menampilkan Yassin dan sebuah lagu 'Fiqir Fiqir' yang dipetik dari lagu 'Dikir Fikir' yang pernah dipopularkan oleh Art Fazil suatu ketika dulu.

Bagi peminat-peminat Ahli Fiqir yang ingin mendapatkan album terbaru mereka ini, album ini akan mula berada di pasaran pada hari Khamis ini iaitu 20 Ogos 2009.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain