suria

Adik Manja kembali selepas 29 tahun

Dharma bersama barisan pelakon Adik Manja Returns - foto THE STAR oleh IBRAHIM MOHTAR
Dharma bersama barisan pelakon Adik Manja Returns - foto THE STAR oleh IBRAHIM MOHTAR
Dharma bersama barisan pelakon Adik Manja Returns - foto THE STAR oleh IBRAHIM MOHTAR

SELEPAS 29 tahun, 'hero' filem Adik Manja, Dharma Harun Al Rashid bakal mengangkat semula filem arahan Othman Hafsham itu dengan menghasilkan sekuelnya, Adik Manja Returns.

Filem yang memaparkan kenakalan pelajar sekolah perempuan dan pernah mengaut kutipan mencecah RM3.5 juta ketika ditayangkan sekitar tahun 1980 ini bukan saja akan menyaksikan Dharma kembali membawakan watak Cikgu Azmi, malah pelakon itu juga akan tampil sebagai pengarah bagi sekuel tersebut.

Mengulas lanjut tentang filem yang akan memulakan penggambaran pada awal Julai nanti, kata Dharma, idea untuk mengembalikan 'nostalgia' Adik Manja ini sudah lama difikirkannya.

"Adik Manja amat istimewa buat saya. Itulah kali pertama saya muncul di layar perak dan menerusi filem itu jugalah saya berpeluang mendapat banyak tawaran lain untuk menjadi 'hero'.

"Tetapi apa yang membuatkan saya mula terfikir untuk buat sekuel filem ini ialah bila saya sering diajukan oleh ramai orang tentang Adik Manja. Ke mana-mana saya pergi, ramai yang cakap kenapa tidak dibuat semula filem ini.

"Tapi waktu itu saya sibuk dengan bisnes yang lain. Sehinggalah bila saya mula menghasilkan skrip-skrip untuk telemovie dan dokumentari, akhirnya sekitar tahun 2006, saya terfikir semula untuk buat Adik Manja Returns.

"Anak-anak saya, Siti Quraitu Aini, 21, dan Mohd Al-Shafiq, 20, banyak membantu saya untuk hasilkan skrip Adik Manja Returns ini supaya ada elemen-elemen moden dapat diketengahkan," kata Dharma pada majlis pelancaran filem tersebut di Saloma Bistro, baru-baru ini.

Filem Adik Manja Returns akan diterbitkan di bawah produksi milik Dharma sendiri, Adik Manja Sdn Bhd dengan kos pembikinan sekitar RM1.5 juta dan lokasi penggambarannya di Universiti Multimedia, Cyberjaya.

Jika Adik Manja dulu menyaksikan lakonan pelakon-pelakon seperti Noor Kumalasari dan Adibah Amin, kali ini barisan pelakon yang akan membintangi 'versi' baru Adik Manja Returns ialah Scha, Rozita Che Wan, Jihan, Kenchana Dewi, Fida, Faezah Elai dan Dharma sendiri.

"Jalan ceritanya masih berkisarkan tentang kenakalan pelajar-pelajar perempuan di sebuah institusi swasta. Institusi itu kini diambil alih oleh anak pengetua institusi itu dulu, bernama Pengetua Sofia (Rozita).

"Tapi Sofia tidak mampu kawal lagi masalah disiplin pelajar-pelajar di situ. Dan kemudiannya dia teringat wasiat ibunya yang menyuruh Sofia mencari Cikgu Azmi semula jika berdepan dengan perkara itu kerana menurut ibunya, Cikgu Azmi tahu untuk selesaikan masalah itu seperti dulu.

"Dalam filem ini juga, saya masukkan elemen tarian hip hop dan shuffle yang menjadi kegilaan remaja masa kini," kata Dharma yang kali terakhir muncul di layar perak menerusi filem Anna and The King.

Ditanya mengenai barisan pelakon Adik Manja Returns ini, kata Dharma, pelakon-pelakon muda yang dipilih itu mempunyai keistimewaan tersendiri dan dilihat memenuhi kriteria karektor-karektor dalam filem tersebut.

"Mungkin ramai yang beranggapan pelakon-pelakon muda yang saya ketengahkan kurang popular. Tetapi saya yakin dengan kemampuan mereka dan bagi saya sendiri, popular tidak bermaksud semuanya berkualiti.

"Ada juga saya terfikir untuk mengundang semula Adibah Amin dan Noor Kumalasari. Tetapi saya dapat tahu Adibah tidak begitu sihat sekarang manakala Noor pula memang tidak mahu lagi berlakon," katanya yang akui turut gembira kerana mendapat sokongan daripada pengarah asal filem Adik Manja, Othman Hafsham.

Artikel Sebelum

Simon Cowell Mr Nasty?

Artikel Berikut

Artikel Lain