suria

Babak Mawi beruniform polis dipotong, tidak penting

Mawi (kanan) bersama pengarah filem Jin Notti, Azhari (tengah) dan Fara Fauzana (kiri) ketika majlis pengumuman kerjasama KRU dan TM dalam filem itu. -foto The Star oleh RAHMAN SENIN
Mawi (kanan) bersama pengarah filem Jin Notti, Azhari (tengah) dan Fara Fauzana (kiri) ketika majlis pengumuman kerjasama KRU dan TM dalam filem itu. -foto The Star oleh RAHMAN SENIN
Mawi (kanan) bersama pengarah filem Jin Notti, Azhari (tengah) dan Fara Fauzana (kiri) ketika majlis pengumuman kerjasama KRU dan TM dalam filem itu. -foto The Star oleh RAHMAN SENIN

PENYANYI popular Asmawi Ani atau Mawi pernah dipanggil oleh pihak polis kerana mengenakan uniform seragam polis dengan wajah berjambang yang melanggar etika Polis DiRaja Malaysia.

Tanpa semena-mena Mawi berkata, babaknya beruniform polis ketika dalam mahkamah akhirnya tidak dimuatkan dalam filem Jin Notti yang dilakonkan olehnya.

“Saya rasa sayang pula apabila babak dalam mahkamah dengan saya memakai baju uniform dan berjambang itu dipotong.

“Saya pun tidak tahu sebab apa. Mungkin sebab keadaan saya melanggar etika uniform polis,” komen Mawi ketika majlis pengumuman kerjasama antara KRU Studios dengan Telekom Malaysia Berhad bagi merealisasikan kemunculan Jin Notti.

Ditanya kepada Ketua Kumpulan KRU Studios selaku produser filem ini, Norman Abdul Halim, berkata babak Mawi itu tidak diperlukan kerana tidak signifikan dengan subplot cerita dan durasi masa untuk filem yang singkat.

“Ikutkan kita boleh hilangkan janggut Mawi dalam babak itu dengan menggunakan teknik ‘Computer Generated Imagery’ (CGI) tetapi tak perlu sebab ia tak penting.

“Kita lebih fokuskan kepada konflik Inspektor Aziz (Mawi) dan Notti (Fara Fauzana) yang mempunyai drama di situ,” jelas Norman.

Tidak serik berlakon walau penat menunggu

Dalam masa yang sama, Mawi berkata dia baru sedar dunia lakonan bukan semudah disangka lebih-lebih lagi dia perlu mengorbankan banyak masa sekadar untuk menunggu berbanding berlakon.

“Ini merupakan kali kedua saya mempunyai pengalaman berlakon filem. Banyak perkara baru yang saya pelajari seperti bukan mudah untuk membuat filem dan banyak menggunakan masa.

“Macam mana pun, tak bermakna saya serik untuk berlakon lagi sebab selepas berlakon Jin Notti, saya turut berlakon filem Magika,” kata Mawi.

Cerita Mawi, dia turut mengalami beberapa cabaran sehingga kakinya bengkak ketika melakukan aksi ‘stunt’ sendiri.

“Dalam filem ini, saya lebih suka melakukan aksi ‘stunt’ sendiri sebab ia lebih memberikan kepuasan kepada saya.

“Tetapi babak ‘fighting’ itu memang mencabar sehingga kaki saya bengkak apabila saya perlu berlari, pijak atas meja, kena terbang dan selepas itu kena bagi kepala lutut kepada pihak lawan. Disebabkan itu, babak itu perlu diulang sebanyak empat kali,” ujarnya.

Mawi juga memberitahu dia mengalami kesukaran ketika menghayati watak Inspektor Aziz.

“Saya susah nak bawa watak Inspektor Aziz sebab dia ‘lari’ dan berlainan dari sikap saya. Inspektor Aziz merupakan seorang yang serius, berprinsip, ‘hati kering’ dan baik hati,” beritahu Mawi yang tetap menjadikan nyanyian sebagai karier utamanya.

Tulis skrip telefilem

Mawi yang tampil dengan imej botak berkata dia juga sedang dalam proses menyiapkan skrip sebuah telefilem untuk diterbitkan oleh syarikatnya, Mawi World Sdn. Bhd.

“Saya sedang dalam proses menyiapkan skrip telefilem berkisar tentang kemasyarakatan. Saya sudah menulis lebih 30 babak sejak sebulan lalu.

“Saya mendapat ilham menulis dalam pukul 4 atau 5 pagi,” ujarnya yang membotakkan kepalanya sejak seminggu lalu.

Mawi dalam nada lucu berkata dia selesa dengan imej lamanya dan tidak tahan berambut panjang ditambah pula tiga botol gel rambutnya selalu hilang.

Saksikan Mawi dalam filem Jin Notti pada Hari Raya Aidilfitri nanti di pawagam!

Artikel Lain