suria

Norman sedia bekerjasama, Abby enggan jadi mangsa lagi

Norman tampil dengan imej botak ketika majlis pelancaran Astro Megadrama 2009 di The Gardens, Kuala Lumpur baru-baru ini. -foto SURIA
Norman tampil dengan imej botak ketika majlis pelancaran Astro Megadrama 2009 di The Gardens, Kuala Lumpur baru-baru ini. -foto SURIA
Norman tampil dengan imej botak ketika majlis pelancaran Astro Megadrama 2009 di The Gardens, Kuala Lumpur baru-baru ini. -foto SURIA

SELEPAS dua hari bercerai dengan aktres Abby Abadi, pelakon Norman Hakim membotakkan rambut demi mendapatkan semangat baru.

Ketika ditemubual semalam tentang reaksi mengenai penampilan terbaru Norman atau Mohamed Norhakim Zaidon, 32, bekas isterinya itu enggan memberikan komen.

“Maaf ya, tiada komen,” tegas Abby atau Arbaeyah Abdul Manan, 31.

Apabila ditanya tentang kehidupan Abby selepas seminggu bercerai dengan Norman, dia menjawab: “Alhamdulillah, segalanya berjalan seperti biasa. Tak banyak pun yang berubah.”

Menjawab tentang penjagaan anak, Abby berkata tidak timbul isu siapa yang menjaga tiga orang anak hasil perkahwinannya dengan Norman kerana anak-anak memang sentiasa bersama Abby sejak dahulu lagi.

Dua hari lalu, ketika majlis pelancaran Astro Megadrama 2009 di The Gardens, Kuala Lumpur, Norman berkata dia masih lagi bekerjasama dengan Abby dalam mengusahakan syarikat milik bersama antara dia dan Abby, MDH Global Network Sdn Bhd dan MDH Trading Services.

“Saya dan Abby masih bekerjasama mengusahakan syarikat kami kerana saya tidak mahu mencampuri antara urusan kerja dan peribadi,” kata Norman dalam nada serius.

Bagaimanapun, ketika menanyakan soalan yang sama kepada Abby dalam temubual yang berlainan, jawapannya bercanggah sama sekali dengan Norman.

“Tidak, saya sudah lama diketepikan, walaupun saya sama-sama melabur dan mempunyai syer dalam syarikat itu.

“Saya akan minta dia (Norman) pecahkan syer dan pulangkan balik modal-modal saya. Apa keadaan sekalipun, saya akan dapatkan hak-hak saya dan hak-hak anak-anak saya juga,” tegas Abby yang sedang menjalani pengambaran telefilem Airmata Buaya bersama pelakon Eizlan Yusof terbitan Eurofine untuk siaran RTM.

Ditanya sama ada dia banyak melabur dalam MDH, Abby berkata: “Banyak tak banyaklah. Saya tak pernah berkira sebenarnya tetapi apabila keadaan jadi seperti ini, maaflah. Saya tak nak berterusan jadi mangsa.”

Berdasarkan pengakuan Abby ini, ternyata dia seolah-olah sukar untuk bekerjasama dengan Norman lagi selepas ini.

Ujar bekas penyanyi kumpulan Elite ini ringkas mengenai telahan tersebut: “Wallahualam..”

Semangat baru Norman

Berbalik kepada temubual bersama dengan Norman baru-baru ini, dia kelihatan tenang menjawab segala persoalan yang diajukan.

Jawab Norman dalam nada serius: “Tiada sebab spesifik yang membuatkan saya membuat keputusan untuk membotakkan rambut.

“Yang pasti, selepas ini saya ingin membina kehidupan yang baru dengan semangat yang baru.

“Apabila saya melihat cermin, saya berkata kepada diri-sendiri yang saya inginkan ‘new revolve of Norman’.

“Jadi, ia sedikit sebanyak memberi anjakan motivasi kepada diri-sendiri.”

Bertanya kepada kehidupannya dalam seminggu ini selepas bercerai, Norman berkata dia masih lagi menjalani kehidupan seperti biasa.

“Cuma kadangkala saya terasa keheningan sebab saya sudah biasa menjalani kehidupan dengan ahli keluarga.

“Apa yang lebih membuatkan saya tergamam dan sebak apabila berdoa selepas mengerjakan solat.

“Biasanya, saya akan berdoa untuk isteri tetapi kali ini doa saya terhenti apabila tersebut namanya,” kata Norman yang hadir bersama abangnya, Mohd. Sophee Zaidon.

Norman turut menambah yang hubungannya dengan anak-anak juga masih baik seperti dulu di mana dia membawa anaknya, Dania ke kedai gunting rambut yang membotakkan rambutnya itu.

Selain itu, Norman juga sempat membawa anak-anaknya bercuti ke Genting Highlands.

“Saya masih menjalankan tanggungjawab saya kepada anak-anak kerana mereka merupakan keutamaan saya,” tutur pelakon yang popular menerusi drama bersiri Gerak Khas ini.

Norman juga mengatakan dia masih menjalinkan hubungan yang baik dengan bekas mertuanya.

Enggan komen tentang Memey

Ketika diminta mengulas lanjut tentang dirinya yang dikatakan sudah bernikah dengan pelakon Memey atau Suhaiza Suhaimi, Norman menafikan sekeras-kerasnya tentang berita tersebut malah mendakwa ia sebagai khabar angin.

Bukan itu sahaja, gambar Norman bertandang ke rumah Memey dan disambut mesra oleh penduduk di Felda Tenggaroh baru-baru ini sudah tersebar dalam salah satu ruang gosip di internet.

“Saya tidak berkahwin dengan Memey. Kalau saya dah kahwin, buat apa saya sorok perkara yang baik itu. Saya juga tidak mempunyai perancangan untuk berkahwin dengan sesiapa buat masa ini.

“Saya juga tidak mempunyai apa-apa hubungan istimewa dengan Memey,” jelas Norman.

Tetapi, jika tidak mempunyai hubungan istimewa, masakan saja-saja bertandang ke rumah pelakon yang baru meningkat naik itu malah seolah-olah mendapat persetujuan penduduk di situ mengenai hubungannya dengan Memey.

“Saya ke rumah Memey hanya untuk menjaga silaturahim. Apabila orang menyambut saya dengan baik, saya juga perlu melayan mereka dengan baik.

“Sudahlah, saya tak nak cakap hal yang sudah lepas ini. Saya tak nak kongsi sebab cerita ini terlalu peribadi sebab saya perlu menjaga hati keluarga dan pihak yang terlibat.

“Namun, saya sendiri tak kisah. Saya juga tidak mahu membuatkan anak-anak ragu-ragu,” ulas Norman yang hanya tersenyum apabila menduga sama ada Memey merupakan pilihan calon isterinya kelak jika dia sudah bersedia untuk berkahwin lagi.

Mengenai kariernya, Norman berkata dia masih meneruskan karier lakonannya walaupun dilanda kontroversi penceraiannya sebelum ini.

“Tidak timbul isu karier saya tergugat kerana saya masih lagi berlakon. Sekarang, saya ada juga membuat projek di bawah terbitan ahli kumpulan MDH, D’Empire Studios,” ujar Norman yang turut memaklumkan dia akan berehat daripada berlakon drama bersiri Gerak Khas selama tiga bulan mulai Januari depan.

Ditanya sama ada dia tidak kisah untuk berlakon dengan Abby selepas ini, Norman berkata: “Saya bersedia untuk berlakon dengannya kerana saya tidak akan mencampurkan antara urusan peribadi dan kerja.”

Pada 5 Mei 2006, Abby dan Norman pernah bercerai talak satu dalam satu tempoh yang singkat. Bagaimanapun, masing-masing rujuk semula seminggu selepas itu atas alasan keutuhan kasih sayang antara mereka.

Pada 18 Disember lalu, buat kali keduanya Abby dan Norman sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Selangor apabila Norman bersetuju melafazkan cerai di hadapan Hakim Syarie, Wan Mahyuddin Wan Muhammad.

Pada 30 Oktober lalu, keadaan rumah tangga pasangan popular itu tidak dapat diselamatkan lagi selepas Norman ditangkap khalwat dengan Memey dipejabat Norman di Ukay Perdana.

Hasil perkongsian hidup Norman dan Abby selama enam tahun, mereka dikurniakan tiga orang anak iaitu Mohamed Danish Hakim, 5, Marissa Dania Hakim, 3, dan Maria Danisha Hakim, 3 bulan.

Artikel Sebelum

Rewang bersama Mawi-Ekin

Artikel Berikut

Artikel Lain