suria

Sofea sudah fikir 100 kali sebelum berhijrah ke LA

Sofea sudah fikir masak-masak sebelum membuat keputusan berhijrah ke LA
Sofea sudah fikir masak-masak sebelum membuat keputusan berhijrah ke LA
Sofea sudah fikir masak-masak sebelum membuat keputusan berhijrah ke LA

Melihat kepada prospek kerja di dalam industri seni tempatan dengan keadaan ekonomi yang agak merudum sekarang, tidak mustahil jika pelakon cantik Sharifah Sofea ingin mencuba nasib di negara asing.

Berbekalkan semangat untuk membantu menaikkan industri perfileman tanahair, Sharifah Sofea atau Sofea rela berhijrah ke Los Angeles, Amerika Syarikat mulai Hari Natal ini.

Penghijrahannya ke sana bukan sahaja untuk menghabiskan masa cuti selama empat bulan malah turut menggunakan peluang yang ada untuk mempelajari selok-belok kerja produksi.

Namun, jika dia betul-betul dapat menyesuaikan diri dengan kerja di sana, mungkin Sofea akan mengambil masa untuk tinggal lebih lama lagi.

Sofea dirasakan agak bertuah apabila dia tidak berseorangan sebaliknya ditemani kakaknya yang menetap di sana.

"Saya tak pasti lagi sama ada akan tinggal lama atau tidak di sana. Mungkin lama dan mungkin tidak.

"Saya bertuah kerana kakak saya ada mengenali beberapa orang produksi di sana.

"Namun, saya tidak mahu menggunakan jalan senang dengan menggunakan kakak saya untuk mendapat kerja tersebut tetapi saya turut menghantar resume menggunakan laman web yang membuka peluang kerja di dalam bidang produksi di sana.

"Saya mahu mempelajari kerja-kerja profesional seperti yang dilakukan di Hollywood. Kemudian, saya bercita-cita untuk membawa pengetahuan dan pengalaman tersebut serta mempraktikkannya di sini demi kemajuan industri seni kita.

"Setakat ini, Alhamdulillah, sudah ada tiga buah syarikat produksi yang berminat untuk memberi saya kerja kerana mereka ada memanggil untuk temuduga. "Saya tak kisah diberikan apa-apa kerja belakang tabir sekalipun. Untuk permulaan, saya akan mencuba semua kerja dahulu. Apabila sudah tiba masa yang sesuai dan saya sudah selesa dengan satu-satu pekerjaan itu, barulah saya akan buat keputusan untuk melakukan kerja apa," jelas Sofea.

Tekad Sofea, dalam masa lima tahun akan datang, dia akan cuba memenuhi apa yang dihajati.

“Banyak lagi perkara yang saya nak lakukan. Sekarang, saya sedang mengumpul input, pengalaman dan kepakaran. "Insya-Allah, semua yang saya perolehi ini nanti akan mengubah kehidupan saya kepada yang lebih baik," tutur Sofea yang masih berminat untuk berlakon pada masa akan datang.

Jauh di sudut hati Sofea, dia meminta supaya niatnya itu tidak disalah ertikan kerana sejauh mana anak muda ini melangkah, akhirnya dia akan pulang ke bumi Malaysia jua.

"KL (Kuala Lumpur) adalah tempat tinggal saya. Saya tak boleh tinggalkan KL dan kedua ibu bapa saya.

"Dulu, ibu dan bapa saya tidak menggalakkan saya bekerja di luar negara tetapi sekarang mereka sudah memberikan sokongan jika hal itu membuatkan saya gembira," ujar Sofea yang paling lama tinggal bersama ibu dan bapanya sepanjang hidup ini berbanding dua orang kakaknya yang kini berada di luar negara manakala adik lelakinya, Syed Adney sibuk dengan kerjayanya sebagai pemain bola sepak di sini.

Menyesal tolak tawaran berlakon

Masuk kali ini, sudah masuk dua kali Sofea menolak tuah kerana apabila tiba saat-saat terakhir dia telah membuat keputusan untuk ke Amerika Syarikat, pasti ada tawaran ujibakat lakonan dan membuatkan dia terpaksa menolaknya.

"Saya ada fikir 1,000 kali sama ada nak pergi atau tidak tetapi sebab rasa tak mahu tangguh lagi, jadi akhirnya saya nekad memilih untuk pergi ke sana.

"Saya tidak berharap sangat tetapi sekurang-kurangnya saya akan memperolehi sesuatu di sana. "Saya hanya membuat perkara yang betul. Lagipun, niat saya ke sana juga untuk meluaskan ‘networking’ dan ‘public relationship’ sebab saya ni jenis yang kurang pandai untuk memulakan komunikasi dan mungkin kadangkala orang akan anggap saya ni sombong. "Padahal saya ni jenis tak pandai nak ‘approach’ orang dan memang tak ramai kawan. Salah seorang kawan yang saya susah nak jumpa sepertinya dan setia berkawan dengan saya adalah Stefanie atau Huei. Bayangkan, saya berkawan dengan dia sejak berumur 10 tahun hingga sekarang dan pernah sama-sama belajar di Sekolah Kebangsaan SS 17, Subang dulu," beritahu Sofea sejujurnya.

Rindu kembali seperti dulu

Memandangkan Sofea memulakan karier dalam bidang seni ini sejak usia 16 tahun lagi, dia merasakan seolah-olah tidak puas menikmati dunia sebenar sebelum bergelar artis.

"Apabila sudah menjadi artis, apa yang kita lakukan akan menjadi tumpuan ramai. "Sebelum menjadi artis, saya bebas untuk membuat apa sahaja tetapi kini saya perlu terhadkannya. Kadangkala saya pernah juga fikir untuk kembali semula seperti dulu.

"Kalau tak jaga, nanti orang akan cakap yang bukan-bukan tetapi tidak bermakna saya tak nak buat apa yang diinginkan. Semua tu saya boleh buat tetapi kena ‘sensor’ juga. "Misalnya, orang sanggup ambil gambar saya dan kekasih melalui FaceBook dan sebarkannya di internet tanpa kebenaran saya.

"Jadi, selepas ini, saya bukan kata hendak terlalu berhati-hati tetapi saya akan kekalkan imej yang bersih sebab saya tak suka kontroversi dan gosip. "Alhamdulillah, setakat ini saya belum terkena dengan kontroversi hebat kerana saya tidak suka sorok-sorok.

"Saya juga gembira dengan kehidupan sekarang apabila dikelilingi oleh rakan-rakan, teman lelaki dan keluarga yang tidak jemu-jemu memberikan nasihat yang baik," cerita Sofea dalam nada ceria lebih-lebih lagi apabila menyebut tentang buah hatinya yang dikenali selama dua tahun itu.

Tubuh kelab peminat tahun depan

Apabila pulang ke Malaysia, Sofea ingin pastikan yang dia akan membuat sebuah laman web kelab peminatnya mulai tahun hadapan.

"Insya-Allah, saya akan cuba mencipta sebuah laman web untuk peminat dan mengemaskininya pada setiap enam bulan," akhiri Sofea yang tidak kisah sama ada meneruskan kariernya dalam bidang lakonan atau di belakang tabir.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain