suria

Kenaikan Gaji Posmen Memang Lama Ditunggu

KUALA LUMPUR: Tahukah anda bahawa posmen yang menghantar surat ke rumah anda hanya menerima gaji pokok bermula dari RM610 sebulan iaitu jauh rendah di bawah garis kemiskinan?

Ini bermakna mereka tergolong dalam kalangan orang miskin dengan pendapatan di bawah RM700 sebulan.

Walaupun terdapat pelbagai rungutan tentang kualiti perkhidmatan yang diberikan pekerja pos, ramai yang tidak menyedari hakikat bahawa pekerja pos menerima gaji yang lebih rendah daripada penjawat awam yang mempunyai gred yang sama - sebanyak 19 peratus.

Sudah tentu hakikat ini boleh melemahkan semangat pekerja pos.

Dan bagi pekerja pos yang bekerja di kaunter Pos Malaysia, gaji mereka lebih rendah daripada rakan sejawatan mereka di sektor kerajaan sebanyak 25 peratus!.

Kenyataan yang amat mengejutkan ini timbul setelah pengumuman kenakan gaji pekerja pos mulai bulan Julai ini serentak juga dengan kenaikan tarif perkhidmatan Pos Malaysia.

Ketika ada insan yang merungut tentang kenaikan tarif perkhidmatan itu, adakah mereka sedar kenaikan tarif berkenaan memberi ruang untuk kenaikan gaji pekerja pos yang memang sudah lama dinantikan.

KENAPA TIDAK LEBIH CEPAT?

Ramai yang bertanyakan kenapa kenaikan gaji itu tidak dilaksanakan dengan lebih awal, menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pos Malaysia Datuk Syed Faisal Albar.

"Sebenarnya, kalau kami lakukan (kenaikan gaji) lebih awal maka kami (Pos Malaysia) akan mengalami kerugian besar," kata beliau.

Perkhidmatan pos merupakan industri intensif buruh dan kos yang melibatkan petugas merupakan 61 peratus daripada perbelanjaan syarikat.

"Kami faham yang ini bukan lagi satu isu ekonomi tetapi ia merupakan isu moral, syarikat senarai awam seperti kami (Pos Malaysia) mempunyai tanggungjawab terhadap pemegang saham bagi mencatatkan keuntungan untuk membayar dividen," kata beliau.

Syed Faisal yang dilantik CEO Pos Malaysia hanya 16 bulan lalu sedar tentang pertalian rapat antara gaji dan tahap perkhidmatan.

"Seorang posmen yang baru bekerja dengan kami hanya akan dapat bertahan selama dua atau tiga bulan sebelum menyedari kerjanya berat walaupun bekerja dengan sebuah badan swasta.

"Mereka kemudian akan meninggalkan kami dan bekerja di sektor awam sebagai pemandu atau kerani dengan mendapat gaji yang lebih tinggi."

Selain itu, ramai juga pekerja pos yang menjalankan kerja secara separuh masa untuk menambah pendapatan dan ini boleh memberi kesan terhadap kualiti kerja serta komitmen terhadap Pos Malaysia.

"Kami juga mempunyai masalah dalam aspek motivasi petugas disebabkan gaji yang rendah," kata beliau.

Di Lembah Klang sahaja, kadar posmen berhenti kerja ialah 20 peratus dan masalah yang timbul dengan posmen baru ialah mereka kerap melakukan kesilapan dalam penghantaran mel.

"Itulah sebabnya bagaimana anda boleh menerima surat yang sepatutnya dihantar kepada jiran anda dan sebaliknya. Dalam erti kata lain, gaji atau tarif yang rendah boleh meberi kesan walaupun terhadap peringkat perkhidmatan yang mudah."

Syed Faisal memberi jaminan kesilapan dalam menghantar surat jarang berlaku, "tetapi memang ada ruang bagi penambahbaikan".

Syed Faisal percaya kenaikan kadar bayaran pos akan membantu menaikkan gaji pekerja pos kepada sekurang-kurangnya sama taraf dengan gaji yang diterima penjawat awam.

"Saya berterima kasih kepada kerajaan kerana membenarkan kenaikan kadar tarif pos yang boleh diterjemah kepada gaji yang lebih tinggi bagi petugas Pos Malaysia dan ini selari dengan seruan kerajaan menuju ke arah masyarakat yang berpendapatan tinggi dalam Model Ekonomi Baru," kata beliau.

TARIF NAIK, GAJI TURUT NAIK

Sehingga tahun 2009, terdapat 15,780 petugas Pos Malaysia di mana 97 peratus atau 15,280 merupakan posmen dan kerani pos.

Satu penstrukturan semula skim gaji bagi pekerja-pekerja ini melibatkan kos operasi sebanyak RM66 juta setahun. Tanpa kenaikan dalam tarif setem pos dometik, Pos Malaysia terpaksa menanggung kerugian 20 juta setahun mulai tahun ini.

Sejak tahun 1992, Pos Malaysia tidak pernah menaikkan kadar tarif pos walaupun ia telah menceburi sektor swasta sejak 18 tahun dahulu.

"Ini membuatkan kadar pos di Malaysia antara yang paling rendah dalam kalangan negara-negara Asean, yang terendah selepas Thailand," kata Syed Faisal.

Pengurangan dalam 'saiz penggunaan' kaedah mel serta kenaikan ketara kos operasi disebabkan kenaikan harga minyak memburukkan lagi keadaan.

"Kami dapati syarikat-syarikat pos yang berjaya di dunia telah menaikkan kadar tarif mereka dari semasa ke semasa bagi menampung kos yang melambung serta memberi ganjaran setimpal bagi petugas mereka," kata beliau.

Bila ditanya sama ada dengan kenaikan hanya 10 sen dalam tarif boleh menampung kenaikan gaji antara 15 dan 19 peratus bagi lebih 15,000 petugas, Syed Faisal menjawab ia 'boleh'.

Sebanyak 65 peratus daripada pendapatan Pos Malaysia datang dari perkhidmatan mel, jadi kenaikan yang 'kecil' ini boleh memberi kesan ketara terhadap pendapatannya.

Kenaikan dalam tarif setem domestik meliputi: -

Surat standard bawah 50g -

Surat bukan standard bawah 100g -

Bahan mingguan atau bulanan (berkala) -

Dokumen pos -

Mel berdaftar -

Bungkusan bawah 2kg

Yang tidak terlibat dalam kenaikan:

- Surat bukan standard lebih dari 100g hingga 2kg

- peti surat persendirian

- beg berkunci

- serahan tingkap

- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain